Mahkamah Kuala Lumpur
PDF version

PENDAHULUAN

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur memainkan peranannya sebagai salah sebuah institusi Badan Kehakiman yang penting di dalam Wilayah Persekutuan. Bangunan yang kini berdiri megah di Jalan Duta merupakan Kompleks Mahkamah yang kedua terbesar di benua Asia dimana ia menghimpunkan tiga (3)  jenis Mahkamah di bawah satu bumbung iaitu :-

i.   Mahkamah Tinggi,

ii.  Mahkamah Sesyen

iii. Mahkamah Majistret.

Sejarah Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur adalah berasal dari lima (5) buah bangunan yang utama di ibu kota dimana Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur terletak di bangunan yang berasingan antara satu sama lain.

Bangunan-bangunan yang menyaksikan pelbagai peristiwa bersejarah ini ialah Bangunan Sultan Abdul Samad, ­Bangunan Wisma Denmark, Bukit Mahkamah atau juga dikenali sebagai `Court Hill’, Bangunan Kayu di Jalan Duta dan juga bangunan Dewan Bandaraya atau dikenali sebagai `City Hall Building’.

 

SEJARAH PEMBINAAN, TUJUAN DAN FUNGSI BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD

Pada awalnya, sekitar tahun 1978 Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beroperasi di Bangunan Mahkamah di Jalan Raja iaitu berhampiran dengan Masjid Jamek. Kemudian pada tahun 1984, Mahkamah Persekutuan telah berpindah ke Bangunan Sultan Abdul Samad.

Sempena dengan kedudukan Mahkamah Persekutuan yang terletak di Bangunan Sultan Abdul Samad, nama Jalan Belanda di belakang bangunan ini telah ditukar kepada Jalan Mahkamah Persekutuan. Bangunan Sultan Abdul Samad ini terletak di Jalan Raja, Kuala Lumpur, Malaysia dan berhadapan dengan Dataran Merdeka dan juga Kelab Diraja Selangor. Jalan Raja dahulunya dikenali sebagai `Gombak Road’.

Perletakan batu asas bangunan Sultan Abdul Samad ini dilakukan oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Charles B.H. Mitchell K.C.M.G. pada 6 Oktober 1894 . Residen British di Selangor pada waktu tersebut ialah W.H Treacher C.M.C. Setelah siap sepenuhnya, bangunan ini telah di rasmikan oleh Residen Jeneral negeri Selangor, iaitu Sir Frank Swettenham K.C.M.G. pada 4 April 1897.

 

Tujuan pembinaan bangunan ini pada asalnya adalah bagi pentadbiran British di Selangor yang memerlukan ibu pejabat baru bagi mentadbir negeri. Sebelum itu, ibu negeri Selangor terletak di Klang dan ianya agak jauh dari kawasan yang maju di Kuala Lumpur. Residen Jeneral British di Selangor pada waktu tersebut ialah Sir Frank Swettenham.

Sultan Abdul Samad yang merupakan pemerintah negeri Selangor dari tahun 1857 hingga 1898 telah bersetuju untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai ibu negeri Selangor. Antara pejabat yang akan ditempatkan di sini ialah Sekretariat Kerajaan (G.S.O); bilik mesyuarat Majlis Negeri (Council Chamber); Pejabat Pos; Lembaga Kebersihan (Sanitary Board); Pejabat Kehakiman (Judicial Commissioner); Public Works Department (PWD); Audit dan Perbendaharaan; Pejabat Tanah; Jabatan Galian dan Pejabat Daerah Jabatan Kerja Raya (P.W.D. District Office). 

Kerja-kerja pembinaan dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (PWD). Bangunan ini direkabentuk oleh arkitek Inggeris bernama Arthur Charles Alfred Norman sekitar tahun 1893-1897. Norman menghabiskan masa di benua Afrika dan mendapat ilham daripada masjid di India seperti Taj Mahal yang membawa kepada ciri senibina Moor dalam arkitektur Bangunan Sultan Abdul Samad. Charles Edwin Spooner bertindak sebagai perancang dan Jurutera Negeri . Pengarah PWD ialah R.A.J. Bidwell .A.B. Hubback menyediakan pelan dan lukisan rekabentuk. 

Idea dan rekabentuk bermula seawal tahun 1889, setelah W. E. Maxwell mengambil alih tugas sebagai Residen British di Selangor. Kuala Lumpur sebagai ibu negeri Selangor hanya mempunyai bangunan-bangunan rumah kedai dan beberapa bangunan kerajaan yang tidak berapa menonjol.

Maxwell telah membawa C. E. Spooner dari Ceylon sebagai State Engineer dan dibantu oleh Bellamy dan A.C. Norman sebagai arkitek. Reka bentuk asal yang dikemukakan oleh Norman adalah hanya sebuah bangunan yang berkonsepkan Inggeris Classical Rennaisance.

Bidwell, seorang arkitek muda, adalah orang yang bertanggungjawab mengadaptasi seni bina Islam (Mahometan style) sebagai tonggak reka bentuk tampak bangunan tersebut di atas pelan asal Norman selepas Spooner kurang berpuashati dengan reka bentuk tampak yang dikemukakan oleh A.C. Norman.

Tempoh masa pembinaan ialah selama 2 tahun 7 bulan. Sebuah kilang batu-bata di bina di Brickfield bagi membekalkan bahan binaan seperti 4 juta batu-bata, 2,500 tong simen, 18,000 pikul kapur, 5,000 lb tembaga, 50 tan besi keluli dan 30,000 kaki padu kayu. Batu-bata yang berkualiti dan berwarna merah dibawa dari India.

Manakala para pekerja juga terdiri daripada kaum India. Antara kontraktor kecil yang membawa batu-bata ini ialah Ghouse, yang berasal dari Chittagong, India (sekarang dikenali sebagai Bangladesh). Batu-bata ini dibawa terus melalui Sungai Kelang dan berlabuh di sebuah pangkalan yang terletak berhampiran dengan Masjid Jamek sekarang.

Bangunan Cardova dan Mesir dua tingkat ini juga mempunyai ketinggian 17.5 meter dengan menara jam setinggi 41.5 meter dan meliputi kawasan seluas 10,200 meter persegi. Reka bentuk binaannya adalah berbentuk “Soracenic’ yang berasaskan seni bina Moghul dan Moor. Tingkap dan pintunya berbentuk melengkung seperti masjid-masjid di Cordova dan Mesir.

Ciri-ciri utama bangunan ini adalah ketiga-tiga kubahnya, menara jam besar dan arked serta lengkungannya yang luas. Ketiga-tiga kubah tersebut yang asalnya diperbuat daripada kayu dan batu- bata dan dicat hitam, telah digantikan dengan kubah-kubah bersalut tembaga.

Kubah yang terletak di atas menara jam besar diapit oleh dua kubah kecil dengan tangga pilin menurun. Kubah tengah agak luar biasa kerana ia adalah paduan dua ciri tradisional kubah dan kios. Menara Jam ini dijaga dan dibaiki dari semasa ke semasa kerana menjadi waktu utama (standard) di seluruh Malaysia. Menara Jam ini menyerupai Big Ben yang terdapat di kota London.

Pada peringkat awal, bangunan Sultan Abdul Samad ini dikenali sebagai Pejabat Baru Kerajaan (New Government Offices). Apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk pada tahun 1948, bangunan ini dinamakan Sekretariat Persekutuan (Federal Secretariat).

Pada tahun 1974, semua pejabat Kerajaan Negeri Selangor telah dipindahkan ke Shah Alam. Manakala pejabat kerajaan Persekutuan Malaysia pula telah dipindahkan ke Jalan Duta, Damansara.  Selain itu, nama bangunan ini juga telah ditukar kepada nama Bangunan Sultan Abdul Samad sempena dengan nama Sultan Selangor yang memerintah dari tahun 1857 – 1898 dan nama ini kekal sehingga sekarang.

Sekitar tahun 1977, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah berpindah untuk sementara waktu ke Jalan Duta atau lebih dikenali sebagai Bangunan Kayu. Selepas 12 tahun iaitu dalam tahun 1989, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah berpindah ke bangunan Dewan Bandaraya atau lebih dikenali dengan `City Hall Building’ manakala Mahkamah Majistret pula terus beroperasi di Bangunan Kayu yang terletak di Jalan Duta.

Kebakaran telah berlaku pada tahun 1992 yang melibatkan Mahkamah Tinggi Bahagian Jenayah yang terletak di Bangunan Mahkamah di Jalan Raja. Selepas kebakaran tersebut, Mahkamah Tinggi  Bahagian Jenayah, Dagang, Sivil, Keluarga dan Rayuan Kuasa-kuasa Khas telah berpindah ke Bangunan Sultan Abdul Samad.

Pada tahun 1994, sejarah Badan Kehakiman tercipta dengan penubuhan Mahkamah Rayuan Malaysia yang ditempatkan di sebahagian Bangunan General Post Office. Pada tahun 1995, semua Majistret yang terletak di Bangunan Kayu di Jalan Duta telah berpindah ke Bangunan Dewan Bandaraya.. Sementara Mahkamah Tinggi Bahagian Dagang, Sivil, Keluarga  dan Rayuan Kuasa-Kuasa Khas yang terletak di Bangunan Sultan Abdul Samad pula telah berpindah ke Wisma Denmark, Jalan Ampang.

Pada tahun 1997, dua (2) buah Mahkamah Tinggi Bahagian Jenayah telah berpindah semula ke Bangunan Mahkamah di Jalan Raja. Pada tahun 2000, Mahkamah Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas dan juga Mahkamah Keluarga yang terletak di Bangunan Wisma Denmark, Jalan Ampang telah berpindah ke bangunan Kraftangan Malaysia di JKR 26, Jalan Sultan Hishamudin.

Pada tanggal 23 Oktober 2003, satu lagi sejarah badan kehakiman dilakar apabila Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan telah dipindahkan dari Bangunan Sultan Abdul Samad ke Istana Kehakiman atau Palace of Justice di Putrajaya. Istana Kehakiman yang tersergam indah adalah antara bangunan yang tercantik dari segi keunikan reka bentuknya dan menjadi mercu tanda untuk setiap perayaan utama di Putrajaya.

Ekoran dari perpindahan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan ke Istana Kehakiman, 8 buah Mahkamah Tinggi bahagian Dagang yang telah dipindahkan ke Bangunan Wisma Denmark telah kembali semula ke Bangunan Sultan Abdul Samad dan General Post Office.

Manakala 8 buah Mahkamah Tinggi bahagian Sivil pula terus beroperasi di Bangunan Wisma Denmark, Jalan Ampang. Selama berada di Jalan Raja, samada  terletak di Bangunan Sultan Abdul Samad mahupun di Bangunan General Post Office, Mahkamah Kuala Lumpur telah mengalami seribu satu pengalaman pahit dan manis. 

PERISTIWA PAHIT DI JALAN RAJA, KUALA LUMPUR.

Pada 16 Mac 1992 kira-kira jam 1.45 petang, kebakaran telah berlaku di Bangunan Mahkamah yang terletak di Jalan Raja. Ketika itu, bangunan tersebut sedang diubahsuai bagi menempatkan 13 Mahkamah Majistret dan baru saja dikosongkan pada awal bulan  Mac oleh Lembaga Pelesenan DBKL bagi membolehkan kerja pengubahsuaian dilakukan. 

Ironiknya, kebakaran kali kedua telah berlaku di bangunan Mahkamah yang sama lebih kurang 10 bulan kemudian iaitu dalam sekitar bulan Disember 1992 jam 4.48 pagi. Kebakaran  yang dikatakan berpunca daripada litar pintas ini telah memusnahkan sepuluh (10) bilik mahkamah, enam (6) kamar hakim, bilik fail dan sebuah perpustakaan.

Lima (5) bilik Mahkamah Tinggi Jenayah, lima (5) kamar hakim, sebuah bilik perpustakaan dan kantin di tingkat atas bangunan dua tingkat itu musnah sama sekali. Kebakaran itu juga turut memusnahkan sebahagian besar Mahkamah Tinggi (Jenayah) yang ketika itu terletak di tingkat dua Bangunan Mahkamah tersebut.

Kebakaran ini juga telahmemusnahkan bahagian dalam bangunan termasuklah fail-fail dan jurnal undang-undang. Walaubagaimanapun, `memorial plaque’ yang memperingati jasa para hakim, peguam dan pegawai undang-undang yang meninggal dunia ketika perang dunia kedua terselamat dan kini ditempatkan di Muzium Kehakiman di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Selain kebakaran, bencana banjir juga telah melanda Bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Mahkamah di Jalan Raja dan juga City Hall Building pada tahun 1971, 1998 dan 2003 di mana banjir ini telah memusnahkan fail-fail dan juga jurnal undang-undang. Kejadian banjir ini berlaku apabila hujan lebat berlaku di seluruh negara.

Jumlah hujan yang lebat  ditambah pula dengan sistem saliran yang tidak begitu memuaskan di sekitar Kuala Lumpur dikatakan sebagai punca kejadian ini berlaku. Selain itu, di belakang bangunan ini di mana terdapatnya pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak, di tengah-tengahnya adalah Masjid Jamek dan Stesen Transit Aliran RinganPutra(LRT) Masjid Jamek terletak bersebelahan dengan Masjid Jamek menyebabkan laluan air sungai selalu tersekat apabila sampah-sarap tersangkut pada tiang-tiang stesen LRT seterusnya menyebabkan banjir kilat berlaku akibat perancangan stesen LRT yang tidak  terancang ini.

PERPINDAHAN MAHKAMAH KUALA LUMPUR KE KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR, JALAN DUTA.

Atas dasar keperihatinan kerajaan dan demi mengangkat martabat Badan Kehakiman, di bawah Rancangan Malaysia ke-7, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur telah dibina di atas tanah seluas 30 ekar di  Jalan Duta. Kompleks bernilai 270 juta ringgit ini mula dibina pada 1 Mac 2004.

Ia telah diserahkan secara rasmi oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri pada 17 April 2007 iaitu selepas proses perpindahan Mahkamah Tinggi secara berperingkat-peringkat dari bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Wisma Denmark, Jalan Ampang dan juga bangunan Kraftangan Malaysia di JKR 26, Jalan Sultan Hishamudin ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta yang bermula dalam bulan April 2007.

Mahkamah Sesyen dan Majistret Kuala Lumpur pula telah menyusuli Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta ini.

 

Reka bentuk bangunan yang bersepadu, simetri dan seimbang menggambarkan imej bangunan Mahkamah sebagai sebuah institusi yang kukuh, stabil, adil dan berkuasa.

Ciri-ciri `classical architecture’ seperti penggunaan tiang-tiang besar, tangga yang lebar, faras lantai bawah yang dinaikkan dan keemasan bahan batu mengukuhkan lagi imej Mahkamah.

Dengan lokasi yang strategik yang mana dikelilingi dengan pejabat-pejabat kerajaan, Masjid Wilayah dan juga MATRADE menjadikan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur ini menjadi tarikan dan tumpuan orang ramai dari seluruh pelusuk dunia sama ada dari dalam mahupun luar negara dari semasa ke semasa. Seawal pembukaannya lagi, kompleks ini telah menerima kunjungan delegasi dari luar Negara seperti Kazakhstan dan juga Indonesia. 

Tanggal 3 Mei 2007 telah menjadi titik sejarah apabila Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur telah mula beroperasi sepenuhnya. Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj telah merasmikan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Jalan Duta ini pada 28 Ogos 2007 dalam sebuah majlis gilang gemilang yang diadakan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta.

Kompleks Mahkamah ini mempunyai 34 bilik bicara Mahkamah Tinggi, 23 Mahkamah Sesyen dan 22 Mahkamah Majistret di bawah satu bumbung. Ianya merupakan kompleks Mahkamah yang kedua terbesar di benua Asia. Senibina kompleks ini yang berbentuk huruf `U’ menggambarkan aspirasi Badan Kehakiman yang mendukung, mempertahan dan menjulang kedaulatan undang-undang.

Terdapat 8 tingkat pada bahagian tengah kompleks yang menempatkan Mahkamah Tinggi, Bahagian Pentadbiran, Bilik Mesyuarat, perpustakaan yang lengkap dengan bahan –bahan rujukan undang-undangserta kaunter-kaunter bayaran.

Manakala Sayap kanan pula diperuntukkan untuk Mahkamah-mahkamah Sesyen dan sayap kiri pula untuk Mahkamah-mahkamah Majistret. Selain itu, terdapat juga kemudahan-kemudahan seperti kafeteria yang selesa, `wireless internet connection’, surau,bilik saksi, bilik peguam, bilik Timbalan Pendakwaraya, bilik Puspanita, bilik media, bank, pejabat pos, lokap dan juga laluan khas untuk banduan.

Selain itu, terdapat jugatempat letak kereta berbumbung yang boleh menempatkan 200 buah kereta yang dikhaskan untuk para hakim dan juga pegawai Mahkamah, manakala tempat letak kereta terbuka pula boleh menempatkan 300 buah kereta untuk kakitangan, manakala  500  tempat kereta pula dikhaskan untuk peguam dan juga orang awam yang mempunyai urusan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta.

Pelbagai teknologi canggih dan kemudahan disediakan bagi memberikan keselesaan khususnya kepada kakitangan perundangan dan juga orang ramai amnya. Kemudahan dan suasana yang membina ini memberi peluang kepada kakitangan untuk mengadakan pelbagai aktiviti riadah yang mampu melahirkan modal insan yang dapat memberi kualiti perkhidmatan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Di bawah pentadbiran Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Tun Zaki Bin Tun Azmi, pelbagai transformasi Mahkamah berjaya dijalankan demi melancarkan sistem pentadbiran Mahkamah-mahkamah seluruh Malaysia termasuklah Mahkamah Kuala Lumpur melalui sistem e-kehakiman.

Melalui sistem yang diperkenalkan, banyak kes-kes tertangguh bertahun-tahun terdahulu berjaya diselesaikan. Sistem `Court Recording Transcrption’ (CRT) yang telah diperkenalkan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur berjaya mempercepatkan proses perbicaraan di dalam Mahkamah terbuka. Begitu juga sistem `Queue Management System’ (QMS) dan `Case Management System’ (CMS) yang banyak membantu mempercepatkan sistem penggiliran panggilan kes dan juga pengendalian serta pengurusan kes di Mahkamah.

Penubuhan Mahkamah-mahkamah baru di Bahagian Dagang dan Sivil juga banyak membantu dalam melancarkan sistem pentadbiran di Mahkamah. Pada 17 Julai 2007, Mahkamah Harta Intelek telah dilancarkan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Di Mahkamah bahagian Dagang, Mahkamah Dagang Baru atau lebih dikenali dengan `New Commercial Court’ (NCC) dan juga `Admiralty Court’ telah ditubuhkan dengan mempunyai visi dan misi untuk mempercepatkan pelupusan kes dalam masa sembilan (9) bulan.

Mahkamah “NCC” ditubuhkan pada 1 September 2009 bertujuan untuk mewujudkan Mahkamah khusus mendengar kes-kes yang didaftarkan di Mahkamah Tinggi Bahagian Dagang bermula dari 1 September 2009 bertujuan untuk  memastikan jumlah pelupusan kes-kes dapat dipertingkatkan dan tempoh masa pelupusan kes-kes pula dipercepatkan dalam masa yang ditetapkan.

Selain itu, penubuhannya adalah untuk mengukuhkan lagi institusi kehakiman terutamanya di Bahagian Dagang Kuala Lumpur dengan meningkatkan penyampaian dan kecekapan perkhidmatan kehakiman kepada pelanggan-pelanggannya. `Admiralty Court’ pula ditubuhkan pada 1 Oktober 2010 bertujuan untuk mewujudkan sebuah pusat maklumat bagi pendaftaran kesemua tuntutan dan kaveat berkaitan dengan undang-undang maritime.

Manakala di Bahagian Sivil pula telah ditubuhkan Mahkamah Sivil Baru atau lebih dikenali dengan New Civil Court (NCvC) yang mula beroperasi pada 1 Oktober 2010  di mana tujuan penubuhannya adalah sama dengan penubuhan Mahkamah NCC.

Kemudahan yang cukup dan memuaskan beserta transformasi Mahkamah yang telah dijalankan telah banyak meningkatkan sistem dan tahap pencapaian Badan Kehakiman di Malaysia. Dengan kerjasama dan sumbangan dari semua pihak, pencapaian ini dapat dipertingkatkan lagi dan dikekalkan di masa hadapan. Adalah menjadi aspirasi Badan Kehakiman agar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta terus menjadi simbol kedaulatan undang-undang  serta kebanggaan buat semua.

Total visitors to the Portal : 214,652
Last updated : 24 April 2017