e-Lelong dilancarkan [28.7.17]
PDF version

 

Prosiding Halang Tebus dan Lelong Awam Harta Tidak Alih Secara Elektronik (e-Lelong) Di Mahkamah Tinggi telah dilancarkan di Kompleks Mahkamah Kuantan pada 27.7.2017 oleh YAA Tan Sri Dato’ Seri Md Raus bin Sharif, Ketua Hakim Negara. Majlis pelancaran ini juga diiringi oleh Presiden Mahkamah Rayuan, YAA Tan Sri Dato' Seri Zulkefli Bin Ahmad Makinudin, Hakim Besar Malaya, YAA Tan Sri Datuk Wira Ahmad bin Haji Maarop dan Peguam Negara, Tan Sri Dato' Sri Haji Mohamed Apandi bin Ali.

 

Sistem lelong awam secara atas talian yang lebih dikenali sebagai Sistem e-Lelong mengendalikan Lelong Awam Harta Tak Alih bagi kes-kes halang tebus di Mahkamah Tinggi Malaya secara atas talian mengikut masa sebenar. Hartanah-hartanah yang akan dipaparkan untuk dilelong melalui Sistem e-Lelong ini adalah melibatkan hartanah-hartanah yang dilelong oleh Mahkamah Tinggi.

 

Projek Perintis sistem e-Lelong ini hanya akan dilaksanakan bagi kes-kes yang didaftarkan di  Mahkamah Tinggi Kuantan sahaja bermula 1 Jun 2017 dan ianya akan diperluaskan di 14 lokasi Mahkamah Tinggi Malaya yang lain. Lelong awam yang dijalankan secara dalam talian ini akan diselia oleh Timbalan Pendaftar/Penolong Kanan Pendaftar di Pusat Operasi e-Lelong yang ditempatkan di Kompleks Mahkamah Kuantan, Pahang.

 

Sehubungan itu, Arahan Amalan  Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya Bilangan 1 Tahun 2017 telah dikeluarkan dan berkuatkuasa pada 15.3.2017 bagi memberi pengenalan, panduan dan tatacara pelaksanaan bagi pendengaran proses e-Lelong ini dikendalikankan di Mahkamah Tinggi.

 

Sistem e-Lelong ini bukan sahaja memudahkan aktiviti lelong awam, malah dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh Mahkamah. Sistem e-Lelong akan menukarkan proses lelong awam secara manual kepada proses lelong awam secara atas talian mengikut masa sebenar.

 

Ini membolehkan para pembida membuat bidaan secara dalam talian tanpa perlu hadir ke Mahkamah. Melalui sistem e-Lelong juga identiti pembida adalah dirahsiakan bagi memastikan tiada ketirisan maklumat dan pembida juga boleh membuat bidaan tanpa sebarang tekanan dan campurtangan daripada pihak ketiga atau sindiket.

Total visitors to the Portal : 235,370
Last updated : 19 August 2017