Teks Ucapan YAA Ketua Hakim Negara Sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2016 [5.8.2017]
PDF version

Teks Ucapan YAA Tan Sri Dato’ Seri Md Raus Sharif Ketua Hakim Negara Sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2016 pada 5hb Ogos 2017

Yang Amat Arif Tan Sri Dato’ Seri Zulkefli Ahmad Makinudin

Presiden Mahkamah Rayuan

 

Yang Amat Arif Tan Sri Datuk Wira Ahmad Haji Maarop

Hakim Besar Malaya

 

Yang Berbahagia Dato’ Sri Latifah Haji Mohd Tahar

Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia

 

Barisan Pengurusan Tertinggi PKPMP

 

Pengarah Mahkamah Negeri

 

Pengarah Bahagian PKPMP

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati  sekalian.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

1.          Terlebih dahulu, marilah sama-sama kita memanjatkan lafaz syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah dan izin-Nya, dapat kita bersama-sama hadir di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2016.

2.          Saya mengambil peluang ini, pertamanya untuk mengalu-alukan kedatangan seramai 397 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2016 dan enam orang bakal penerima “Anugerah Khas”.

 

3.          Kepada semua bakal penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan “Anugerah Khas” pada petang ini, saya ucapkan tahniah dan syabas. Pemberian anugerah ini merupakan satu tanda penghargaan atas komitmen dan kesungguhan tuan-tuan dan puan-puan semua melaksanakan kerja dan tanggungjawab yang diberikan.

 

4.          Diharap anugerah ini akan menjadi satu titik tolak untuk tuan-tuan dan puan-puan semua dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan prestasi kerja pada masa-masa yang akan datang.

 

5.          Sepertimana yang dinyatakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Latifah mengenai Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada kali ini yang dianjurkan dalam keadaan sederhana, suka saya nyatakan di sini bahawa ia dianjurkan dengan penuh perancangan agar detik meraikan wargakerja Badan Kehakiman yang cemerlang berlangsung dengan jayanya dan meninggalkan kenangan manis yang tidak akan dilupakan.

 

6.          Penganjuran Majlis ini diadakan secara sederhana kerana kita semua ketahui bahawa kemampuan ekonomi Negara kita yang terkesan berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia. Begitu juga, suasana politik dunia yang tidak menentu turut memberikan impak kepada ekonomi Negara kita. Ini semua adalah cabaran yang perlu kita hadapai bersama.

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

7.          Pada hari saya mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara, saya telah menyatakan bahawa, saya akan meneruskan usaha-usaha pembaharuan (reform) yang dimulakan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Zaki Tun Azmi dan diteruskan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Arifin Zakaria.

 

8.          Tidak boleh dinafikan bahawa banyak kemajuan telah kita capai, terutama dalam penyelesaian kes. Misalnya, saya dapati untuk kes-kes New Civil Court (NCvC) di Mahkamah Tinggi, 90% kes telah diselesaikan dalam tempoh sembilan bulan.

 

9.          Saya juga telah menyatakan kepada pemberita bahawa hasrat saya untuk melihat kes-kes sivil di Mahkamah Tinggi dapat diselesaikan tidak melebihi satu tahun. Begitu juga dengan kes-kes Jenayah.

 

10.      Percaturan yang ingin saya lihat adalah, satu tahun kes didengar di Mahkamah Tinggi, sembilan bulan kes di Mahkamah Rayuan dan sembilan bulan lagi kes di Mahkamah Persekutuan. Begitulah sasaran saya, iaitu untuk melihat tempoh menunggu sesuatu kes kurang dari tiga tahun.

 

11.      Berikutan dengan itu, banyak komen dari peguam bahawa bukannya mudah untuk mencapai matlamat tersebut. Diberikan macam-macam alasan. Antaranya, bilangan peguam yang tidak ramai kendalikan sesuatu kes, OKT harus diberi peluang memilih peguam, pendakwaan juga lambat kendalikan kes, laporan kimia lambat disediakan dan sebagainya. Pada saya, perkara yang bukan mudah itulah yang menjadi cabaran. Ia bukan perkara yang mustahil untuk dilakukan. Ia boleh dilakukan jika kita semua bekerja keras untuk mencapai sesuatu matlamat.

 

12.      Sebagai contoh, kes-kes komersial di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pada tahun 2009, semasa saya menjadi Hakim Pengurus, terdapat 6 ribu lebih kes yang tertunggak antara 5 ke 10 tahun. Ada yang melebihi 10 tahun. Tetapi atas kerjasama Hakim-Hakim dan juga melalui penubuhan New Commercial Court (NCC), kebanyakkan kes tertunggak tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh dua tahun. Pada tahun ketiga, the Old Commercial Court telah ditutup.

 

13.      Pada hari ini kes-kes komersial melalui NCC telah diselesaikan dalam tempoh sembilan bulan. Ini termasuklah kes-kes Muamalat, Intellectual Property dan Admiralty. Kalau adapun melebihi sembilan bulan, jumlahnya tidak banyak dan ia tidak melebihi 15 bulan. Yang pastinya di Bahagian Dagang, 90% hingga 95 % kes diselesaikan dalam tempoh masa sembilan bulan.

 

Hadiran yang saya hormati,

 

14.      Di Mahkamah Rayuan pula, pada masa saya mengambil alih sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, statistik di Mahkamah Rayuan menunjukkan, pada awal tahun 2011, terdapat sebanyak 10,771 kes di Mahkamah Rayuan. Alhamdulillah, dengan semangat kerjasama (teamwork), baik pihak hakim mahupun pegawai dan kakitangan Mahkamah Rayuan, pada akhir tahun 2011, kes di Mahkamah Rayuan berkurangan iaitu sebanyak 8,302 kes.

15.      Momentum pencapaian penyelesaian kes berterusan pada tahun 2012 apabila statistik menunjukkan, pada akhir tahun 2012, kes tertunggak turun kepada 5,553 kes.

 

16.      Pada akhir tahun 2013, kes terus berkurangan kepada 4,221 kes dan pada akhir tahun 2014, kepada 3,209. Di akhir tahun 2015, satu pencapaian terbaik Mahkamah Rayuan di mana pengurangan kes tertunggak turun sebanyak 2,627 kes. Pendaftar Mahkamah Rayuan pada masa itu adalah Yang Berbahagia Datin Latifah yang sekarang ini menjawat jawatan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia. Beliau memang berhak dinaikkan pangkat kerana kesungguhan beliau dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai Pendaftar Mahkamah Rayuan.

 

17.      Pada tahun lepas (2016) angka naik kepada 3,017 kes. Kenaikkan ini bukan kerana Hakim Mahkamah Rayuan alpa atau slow down tetapi kerana pertamanya, peningkatan jumlah kes yang didaftarkan. Kedua, kita fokuskan kepada kes-kes lama. Jadi pada akhir tahun 2016, hanya terdapat 214 kes pra-2016 iaitu hanya 7%, manakala 93% lagi adalah kes-kes semasa. Statistik terakhir yang saya terima menunjukkan terdapat hanya 85 kes pra-2016.

 

18.      Berdasarkan pencapaian inilah, saya harap kita akan sama-sama berganding bahu dalam memastikan kes-kes pra-2016 dan juga kes-kes semasa yang lain dapat diselesaikan di kesemua mahkamah di Malaysia. Objektif utama adalah mempastikan pada akhir tahun 2017 ini, kes-kes di Mahkamah dapat diselesaikan dalam tempoh satu tahun dari tarikh kes didaftarkan di Mahkamah.

 

19.      Pada bulan Julai yang lepas, semasa saya melancarkan Projek Perintis Sistem e-Lelong, saya berkesempatan mengadakan Mesyuarat dengan Hakim dan pegawai-pegawai kehakiman Negeri Pahang. Pencapaian penyelesaian kes di Mahkamah Negeri Pahang adalah baik. Kes-kes pra-2017 akan dapat diselesaikan pada tahun ini. Begitu juga di Sabah, di mana saya mempengerusikan persidangan di Mahkamah Persekutuan Kota Kinabalu dari 31 Julai hingga 3 Ogos, dan pada masa yang sama mengadakan mesyuarat statistik di Mahkamah Kota Kinabalu. Saya dapati, kes-kes lama di Mahkamah seluruh negeri Sabah telah dapat diselesaikan. Saya diberi jaminan, kes pra-2017 akan dapat diselesaikan dan mulai tahun 2018, Mahkamah di Sabah akan mendengar kes-kes yang didaftarkan pada tahun 2017 dan kes-kes semasa sahaja.

 

20.      Untuk makluman, sejak saya dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 1 April 2017, saya telah mengadakan mesyuarat statistik di Mahkamah Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah, Pahang dan Sabah. Saya akan ke Johor Bahru pada 13 Ogos ini dan Sarawak pada bulan September.

 

21.      Setiap pencapaian yang cemerlang ada ganjarannya. Pada hari ini, ingin saya nyatakan bahawa mulai tahun hadapan, semasa Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2017 saya ingin sumbangkan “Commemorative Plaques”, iaitu Plak Pusingan dan Plak Iringan kepada Mahkamah Negeri yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam menyelesaikan kes-kes di Mahkamah mengikut tempoh masa (time line) yang ditetapkan di samping penulisan alasan penghakiman yang berkualiti dalam tempoh masa yang ditetapkan.

 

22.      Plak Pusingan dan Plak Iringan yang mana belum lagi diberikan nama khasnya ini, akan saya taja selama 10 tahun. Saya harap, anugerah khas ini akan menjadi pembakar semangat dan motivasi kepada tuan-tuan dan puan-puan agar berkerja keras dengan ikhlas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi memastikan kecemerlangan bukan sahaja kepada Mahkamah di Negeri masing-masing malah Badan Kehakiman keseluruhannya.

 

Hadirin yang saya hormati,

 

23.      Dalam konteks sesebuah organisasi, transformasi amat penting bagi memastikan kelestarian (sustainability). Organisasi yang gagal melakukan transformasi dalam era ini menjadi begitu mudah tidak relevan.

 

24.      Saya dimaklumkan bahawa baru-baru ini Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia telah menganjurkan program “Bedah Buku - The Fourth Industrial Revolution” yang dikarang oleh Klaus Schwab, Founder and Executive Chairman, World Economic Forum. Saya percaya, jika tuan-tuan dan puan-puan telah membaca dan memahami kandungan buku setebal 184 muka surat ini, pasti timbul kesedaran untuk terus belajar dan inginkan perubahan dalam melaksanakan tugasan seharian mengikut arus peredaran zaman, yang mana teknologi dan inovasi memainkan peranan penting dalam tugasan seharian. Kita semua perlulah sensitif kepada perubahan sekeliling, sanggup menerima perubahan dan bersedia melakukan perubahan dari segi pemikiran, sikap, kualiti kerja dan sebagainya. Kita mestilah perlu menjadi lebih baik, lebih tangkas dalam memahami kehendak pihak yang berurusan dengan Mahkamah, lebih strategik dan sentiasa berusaha memancarkan semangat ingin meningkatkan imej Badan Kehakiman Malaysia supaya kekal menjadi Badan Kehakiman yang sentiasa berprestasi tinggi dan dihormati.

 

25.      Seiring dengan peredaran zaman, Badan Kehakiman mengorak langkah dengan penambahbaikan sistem pemfailan dokumen secara dalam talian (online) di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan melalui pelaksanaan Sistem e-Court Fasa 2. Begitu juga dengan Projek Perintis Sistem e-Lelong, juga telah dilancarkan baru-baru ini di Kompleks Mahkamah Kuantan yang mana sistem ini dilaksanakan bagi meningkatkan ketelusan dan efisiensi proses bidaan harta tak alih di Mahkamah Tinggi.

 

26.      Berdasarkan pemerhatian saya, halatuju Badan Kehakiman amat jelas dalam memastikan  projek pengkomputeran mahkamah dijadikan satu agenda transformasi utama dalam usaha meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian (delivery system) dan memastikan pengendalian maklumat yang selamat, efisien dan efektif.     

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

27.      Saya ingin mengingatkan semua pegawai dan kakitangan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia supaya dapat memberikan sepenuh komitmen untuk memastikan aspirasi dan polisi yang ditetapkan oleh Badan Kehakiman Malaysia dapat dilaksanakan dengan cemerlang. Time line yang ditetapkan adalah penting. Ketepatan masa dalam membuat sesuatu kerja amat penting. Saya ingin ingatkan bahawa alasan penghakiman hendaklah ditulis dalam tempoh masa yang ditetapkan.

 

28.      Setiap polisi ditetapkan sama ada oleh saya selaku Ketua Hakim Negara, YAA Tan Sri Zulkifli selaku Presiden Mahkamah Rayuan, YAA Tan Sri Ahmad selaku Hakim Besar Malaya, YAA Tan Sri Richard, selaku Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta Dato’ Sri Ketua Pendaftar dan barisan tertinggi PKPMP, hendaklah difahami dan dilaksanakan oleh semua warga kerja Mahkamah.

 

29.      Sebagai contoh, polisi terbaharu PKPMP mengenai tempoh masa penyelesaian kes sivil dan jenayah di Mahkamah Rendah seluruh Malaysia, iaitu bagi kes-kes jenayah tempoh masa penyelesaian kes adalah 12 bulan manakala, bagi kes-kes sivil, tempoh masa penyelesaian kes adalah sembilan bulan. Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan perlu gerakkan semua wargakerja Mahkamah dan sama-sama berkerja ke arah merealisasikan sasaran yang telah ditetapkan tersebut.

 

30.      Kecemerlangan Badan Kehakiman Malaysia adalah atas kerjasama dan sokongan penuh daripada tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Oleh itu, saya menyeru semua yang hadir pada hari ini untuk sama-sama kita berganding bahu dan berusaha agar Badan Kehakiman Malaysia berjaya melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan dan terus disegani dan disanjung tinggi.

 

31.      Akhir sekali, saya berharap agar semua pegawai dan kakitangan Badan Kehakiman akan menjadikan kecemerlangan sebagai satu budaya kerja.

 

Hadirin yang saya hormati sekalian,

 

32.      Sebagai penutup, saya sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Khas Tahun 2016.

 

33.      Pada kesempatan ini, ingin saya rakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua Jawatankuasa kerja Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016, yang diketuai oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Latifah Haji Mohd Tahar, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, kerana telah bertungkus-lumus untuk menjayakan penganjuran majlis pada hari ini dengan jayanya.

 

Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

YAA TAN SRI DATO’ SERI MD RAUS SHARIF

Ketua Hakim Negara

Total visitors to the Portal : 242,221
Last updated : 25 September 2017