Sejarah Mahkamah Negeri Kelantan

 

A. Sejarah sistem perundangan dan kehakiman Kelantan yang berasaskan undang-undang Islam dan adat terus berkembang dari semasa ke semasa di bawah beberapa orang Sultan sehingga menjadi agak teratur pada masa Sultan Mansur dari tahun Seribu Lapan Ratus Sembilan Puluh Satu [1891] sehingga seribu Sembilan Ratus [1900]. Adalah dipercayai Sultan Muhammad ke Dua [II] adalah orang yang memulakan tradisi pemerintahan undang-undang berasaskan hukum syarak ini. Sistem Mahkamah Inggeris mula ditubuhkan di Kelantan dengan kedatangan W.A Graham iaitu seorang Penasihat Inggeris pada tahun Seribu Sembilan Ratus Tiga [1903].

 

B. Satu Enakmen telah diluluskan pada tahun 1928 untuk melantik seorang lulusan undang-undang menjadi Pesuruhjaya Kehakiman atau Judicial Commisioner yang juga bertindak sebagai Penasihat Undang-Undang. Beliau bukan sahaja dipertanggungjawabkan sebagai Hakim di Mahkamah Tinggi tetapi juga bertanggungjawab untuk mendraf semula dan mengkanunkan undang-undang Kelantan. Rekod menunjukkan bahawa E B Williams pada tahun 1939 telah dilantik sebagai Judicial Commisioner Kelantan yang pertama. Setelah sekian lama dikuasai oleh orang Inggeris pada tahun 1954 warga tempatan pertama yang menjadi Hakim Mahkamah Tinggi di Kelantan ialah Yang Arif Syed Sheh bin Syed Hassan Barakhbah. Beliau menjawat jawatan tertinggi ini sehingga 1956. Bermula dari tahun 1960 Hakim Mahkamah Tinggi di Kelantan dikuasai sepenuhnya oleh warga tempatan.

 

C. Bagi pentadbiran keadilan peringkat rendah pula, J G. Adams menjadi Hakim Mahkamah Sesyen di Kelantan dari tahun Seribu Sembilan Ratus Empat Puluh Lapan [1948] sehingga Seribu Sembilan Ratus Lima Puluh Satu [1951], diikuti H.L Wrigglesworth dari Seribu Sembilan Ratus Lima Puluh Tiga [1953]. Anak tempatan pertama yang menjadi Hakim Mahkamah Sesyen adalah Tan Sri Ali bin Hassan dari 1953 sehingga 1954. Selepas tahun 1956 Hakim-Hakim Mahkamah Sesyen di Kelantan ini terus dikuasai oleh anak-anak tempatan.

 

D. Antara bangunan mahkamah lama dibina di Kelantan adalah Mahkamah Kota Bharu yang dibina pada tahun 1903 yang terletak di hadapan Padang Merdeka sekarang dan juga Mahkamah Tinggi Kota Bharu di Padang Gimlate. Seiring dengan pembangunan Malaysia, sistem keadilan di Kelantan boleh dilihat berkembang dengan pesatnya melalui terbinanya bangunan-bangunan mahkamah yang menjadi pusat dan tempat rujukan bagi rakyat mencari keadilan.

 

E. Kompleks Mahkamah Kota Bharu telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Yahya Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim pada 6 Oktober 1969. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan Kelantan begitu menitikberatkan soal pentadbiran keadilan di negeri ini. Perkembangan mahkamah di Kelantan seterusnya boleh dilihat melalui pertambahan bangunan baru mahkamah-mahkamah ini:

1) MAHKAMAH MAJISTRET PASIR PUTEH pada 28 April 1974

2) MAHKAMAH MAJISTRET MACHANG pada 18 Ogos 1976

3) MAHKAMAH MAJISTRET TANAH MERAH pada 6 Mei 1978

4) MAHKAMAH MAJISTRET BACHOK pada tahun 1978

5) MAHKAMAH MAJISTRET PASIR MAS pada 7 November 1979

6) MAHKAMAH MAJISTRET TUMPAT pada tahun 1982

7) MAHKAMAH SESYEN / MAJISTRET GUA MUSANG pada 4 Julai 2001

8) MAHKAMAH MAJISTRET KUALA KRAI pada tahun 2007

9) MAHKAMAH MAJISTRET JELI pada 5 Julai 2007

10) MAHKAMAH SESYEN / MAJISTRET PASIR MAS pada tahun 2011

 

F. Sejarah juga telah terukir sekali lagi apabila Majistret wanita pertama telah dilantik di Negeri Kelantan iaitu  Yang  Amat  Mulia  Tengku Amalin ‘A-Ishah Putri binti Sultan Ismail Petra menjadi Majistret wanita pertama pada 26 Jun 2006. Dijangkakan Mahkamah Kota Bharu yang sekarang ini beroperasi di tengah pusat bandar Kota Bharu akan berpindah ke kompleks bangunan baru di Tunjong pada pertengahan tahun 2019.

Melayu