Bahagian Teknologi Maklumat Dan E-Kehakiman

Bahagian Teknologi Maklumat & e-Kehakiman bertanggungjawab dalam penyediaan dan pembangunan perkhidmatan pengkomputeran dan IT kepada warga Kehakiman seluruh Malaysia. Bahagian ini terbahagi kepada 2 unit yang telah diletakkan di bawah satu pentadbiran iaitu Unit Teknologi Maklumat dan Unit e-Kehakiman.

1) Unit Teknologi Maklumat

Unit ini memainkan peranan penting dalam pengurusan dan pemantauan rangkaian, aplikasi, perkakasan, perisian sistem serta perkhidmatan teknikal yang digunakan oleh warga Kehakiman di seluruh Malaysia. Unit ini terbahagi kepada beberapa seksyen iaitu seksyen Pentadbiran & Kewangan, e-Kehakiman, Aplikasi, CRT & Portal, Rangkaian, Emel dan Aset.

Antara tugas yang dilaksanakan oleh Unit Teknologi Maklumat ini adalah:
• Menyedia dan mengurus kemudahan komunikasi dan rangkaian seperti capaian Internet, Intranet dan emel;
• Mengendali dan mengurus perolehan perkakasan, perkhidmatan ICT dan pengurusan projek ICT PKPMP;
• Mengurus dan menyelaras operasi Pusat Data;
• Mengurus dan menyediakan perisian yang sah kepada setiap kemudahan komputer dan pelayan;
• Merancang, membangun dan menyelenggara sistem aplikasi bagi menyokong operasi dan aktiviti Mahkamah; dan
• Memberi perkhidmatan bantuan teknikal kepada pengguna kemudahan yang disediakan.

2) Unit e-Kehakiman

Unit ini pula bertanggungjawab dalam melaksanakan projek pengkomputeran proses kerja Mahkamah di Semenanjung Malaysia. Antara projek yang telah dibangunkan adalah Projek e-Kehakiman Fasa 1 (“e-KF1”) manakala projek yang kini sedang dalam pelaksanaan dikenali sebagai Projek e-Kehakiman Fasa 2 (“e-KF2”). Projek e-KF2 adalah projek pengkomputeran mahkamah di Semenanjung yang dilaksanakan selama 18 bulan mulai 26 Januari 2016 hingga 25 Julai 2017 bagi tujuan berikut:

i) menambahbaik Sistem e-KF1 yang telah dilaksanakan sejak tahun 2010 di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah di 8 lokasi Mahkamah iaitu di Kuala Lumpur, Shah Alam, Georgetown (Pulau Pinang), Johor Bharu (Cyberport), Ipoh, Kuala Terengganu dan Kota Bharu, serta di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman, Putrajaya; dan

ii) meluaskan pelaksanaan sistem e-KF2 ke Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah di 12 lokasi Mahkamah yang lain iaitu di Melaka, Kuantan, Temerloh, Kangar, Alor Setar, Sungai Petani, Butterworth, Taiping, Seremban, Klang, Selayang dan Muar.

Bagi tujuan menambahbaik Sistem e-KF1 tersebut, projek e-KF2 ini turut melibatkan pembekalan peralatan, perkakasan dan perisian bagi memantapkan keupayaan dan capaian Sistem e-Kehakiman. Selain itu terdapat pelbagai modul yang ditambah dalam Sistem Aplikasi yang dibangunkan serta tambahan skop kerja bagi pelaksanaan Sistem e-KF2 yang lebih mantap daripada Sistem e-KF1 sedia ada.

Sistem e-KF2 bagi Peringkat 1 telah dilaksanakan di Kompleks Mahkamah Melaka mulai 22 Disember 2016 dan di Kompleks Mahkamah Kuantan mulai 11 Januari 2017. Pemfailan kes-kes jenayah am, saman jenayah, saman trafik, permohonan jenayah termasuk reman di kedua-dua lokasi tersebut telah dibuat secara online sepenuhnya oleh semua agensi penguatkuasa yang terlibat. Pemfailan kes sivil secara online oleh para peguam, agensi kerajaan dan badan berkanun juga semakin meningkat berbanding penggunaan khidmat kaunter biro e-filing yang disediakan untuk kegunaan sementara oleh para pelanggan Mahkamah. Kini, Unit ini akan memperluaskan sistem e-KF2 ke Peringkat 2 dan seterusnya Peringkat 3 dan pelaksanaan tersebut dijangka selesai pada bulan Julai 2017 ini.

English