Latar Belakang

Penubuhan

Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah tertinggi di Malaysia. Ia ditubuhkan di bawah Perkara 121(2) Perlembagaan Persekutuan. Sebelum 1985, sistem mahkamah atasan di Malaysia adalah sistem tiga peringkat iaitu:

  • Majlis Privy
  • Mahkamah Agung
  • Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Borneo

Pada 1 Januari 1985, semua rayuan dari Malaysia ke Majlis Privy telah dimansuhkan. Mahkamah Agung kemudiannya merupakan forum rayuan terakhir bagi kes-kes dari Mahkamah Tinggi yang membentuk struktur sistem dua peringkat mahkamah atasan di Malaysia. Walaubagaimana pun, pada 1994, Mahkamah Rayuan telah ditubuhkan dan Mahkamah Agung telah dinamakan sebagai Mahkamah Persekutuan. Justeru, sistem tiga peringkat mahkamah atasan dihidupkan semula.

 

Keanggotaan Mahkamah Persekutuan

Perkara 122(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Mahkamah Persekutuan hendaklah terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, kedua-dua Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan sebelas hakim yang lain.

 

Mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan lain-lain hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Sebelum memberikan nasihatnya tentang pelantikan seseorang hakim, selain Ketua Hakim Negara, Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Ketua Hakim Negara.

 

Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan membolehkan Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Ketua Hakim Negara, melantik mana-mana orang yang telah memegang jawatan kehakiman yang tinggi di Malaysia untuk menjadi hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan. Pelantikan ini boleh dibuat bagi apa-apa maksud atau bagi apa-apa tempoh masa yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

 

Bidang kuasa

Bidang kuasa Mahkamah Persekutuan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Mahkamah Kehakiman 1964. Ia diklasifikasikan kepada empat bidang kuasa yang berbeza:

  • bidang kuasa asal;
  • bidang kuasa rayuan;
  • bidang kuasa rujukan; dan
  • bidang kuasa nasihat.

Ini adalah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 121(2) Perlembagaan, di mana Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa: -

  • untuk memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya;
  • asal atau runding yang dinyatakan dalam Perkara 128 dan 130; dan
  • lain-lain sebagaimana yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.

 

(1) Bidang kuasa asal

Mengikut Perkara 128(1) Perlembagaan Persekutuan, hanya Mahkamah Persekutuan sahaja mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk memutuskan:

  1. apa-apa soal sama ada sesuatu undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan sesuatu Negeri adalah tidak sah atas alasan bahawa undang-undang itu membuat peruntukan mengenai sesuatu perkara yang mengenainya Parlimen atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Badan Perundangan Negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang; dan
  2. pertikaian atas apa-apa soal lain antara Negeri dengan Negeri atau antara Persekutuan dengan mana-mana Negeri. 

Di samping itu, Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa asal yang sama dan boleh menjalankan kuasa yang sama seperti yang dijalankan oleh Mahkamah Tinggi (Seksyen 81 Akta Mahkamah Kehakiman 1964).

 

(2) Bidang kuasa rayuan

Sebahagian besar tugas Mahkamah Persekutuan adalah mendengar rayuan jenayah dan sivil.

Bagi rayuan jenayah, selaras dengan Seksyen 87 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa rayuan terhadap apa-apa keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan dengan apa-apa perkara jenayah yang diputuskan di Mahkamah Tinggi dalam bidang kuasa asalnya. 

Sementara bagi rayuan sivil, Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 memperuntukkan bahawa sesuatu rayuan boleh dibuat daripada Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan dengan kebenaran Mahkamah Persekutuan.

 

(3) Bidang kuasa rujukan

Di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Persekutuan boleh dalam situasi di mana terdapat apa-apa prosiding di hadapan suatu mahkamah lain yang menimbulkan soalan tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan untuk memutuskan soal itu dan menghantar balik kes itu kepada mahkamah yang satu lagi untuk dibereskan mengikut keputusan itu.

 

(4) Bidang kuasa nasihat 

Mahkamah Persekutuan boleh memberikan pendapatnya mengenai apa-apa persoalan yang timbul atau yang mungkin timbul dan yang telah dirujuk kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong, tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan (Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan).

 

Persidangan dan Komposisi 

Mahkamah ini bersidang pada masa dan tempat yang ditentukan oleh Ketua Hakim Negara. Pada kebiasaannya Mahkamah Persekutuan bersidang di Istana Kehakiman, Putrajaya. Walau bagaimanapun, Ketua Hakim Negara boleh mengarahkan supaya apa-apa rayuan didengar pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat di Malaysia jika didapatinya suai manfaat (Seksyen 75 Akta Mahkamah Kehakiman 1964).

 

Mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, setiap prosiding Mahkamah Persekutuan hendaklah didengar dan dilupuskan oleh tiga hakim atau lebih yang bilangannya hendaklah ganjil dan sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Hakim Negara. Semasa ketiadaan Ketua Hakim Negara, ahli mahkamah yang kanan sekali hendaklah mempengerusikan persidangan itu.

 

Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Ketua Hakim Negara boleh menamakan seorang hakim Mahkamah Rayuan selain daripada Presiden Mahkamah Rayuan untuk bersidang sebagai hakim Mahkamah Persekutuan sekiranya beliau berpendapat, demi kepentingan keadilan, ianya perlu.

English