Ketua Pendaftar

YBhg. Datin Latifah binti Hj. Mohd Tahar
Ketua Pendaftar

Profil
YBhg. Datin Latifah binti Haji Mohd Tahar dilahirkan pada 10 Ogos 1961. Beliau telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya pada tahun 1985 dan Ijazah Sarjana Undang-Undang dari Universiti of Kent di Canterbury, United Kingdom pada tahun 1998. Datin Latifah binti Haji Mohd Tahar telah menyertai perkhidmatan kehakiman dan perundangan pada tahun 1985.
YBhg. Datin Latifah binti Haji Mohd Tahar telah berkhidmat di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan sejak menyertai perkhidmatan kehakiman dan perundangan. Beliau telah memulakan perkhidmatan sebagai majistret pada tahun 1985 hingga 1989 di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan Ipoh. Seterusnya, beliau telah dilantik menjadi Peguam Cara di Jabatan Pemegang Amanah Raya sehingga tahun 1992 dan kemudian dilantik menjadi Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Hasil Dalam Negeri sehingga tahun 1993. Bermula tahun 1994 hingga tahun 1997, YBhg. Datin Latifah binti Haji Mohd Tahar dilantik menjadi Penasihat Undang-Undang di Kementerian Pendidikan Malaysia. Beliau seterusnya memegang jawatan sebagai Penolong Penggubal Undang-Undang di Jabatan Peguam Negara pada tahun 1998 hingga tahun 2000 dan kemudiannya bertukar ke Jabatan Pembangunan Koperasi sebagai Penasihat Undang-Undang pada bulan Mac 2000 hingga tahun 2001. Beliau kemudiannya dilantik menjadi Hakim Mahkamah Sesyen di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada tahun 2001 hingga tahun 2010.
Pada 16 Mei 2010, YBhg. Datin Latifah binti Haji Mohd Tahar dilantik sebagai Pengarah Mahkamah Negeri Selangor dan beliau kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Pendaftar Mahkamah Rayuan pada 15 Disember 2013. YBhg. Datin Latifah binti Haji Mohd Tahar telah dilantik menjadi Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 16 Disember 2015.
Beliau telah mendirikan rumah tangga bersama YBhg. Dato’ Azmi bin Mohd Ali dan dikurniakan enam orang cahaya mata.

English