Sejarah Kehakiman Malaysia

 

Profil

YAA Tun Dato' Seri Arifin bin Zakaria dilahirkan pada 1.10.1950 di Kg. Repek, Pasir Mas, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Tiang Chandi, Repek, Pasir Mas, Sekolah Melayu Gual Periok, Pasir Mas, Sultan Ibrahim Primary School, Pasir Mas, Sultan Ibrahim Secondary School, Pasir Mas dan Sultan Ismail College, Kota Bharu.

 

Pada tahun 1971, beliau telah melanjutkan pelajaran di University of Sheffield, United Kingdom dalam bidang undang-undang dan dianugerahkan Ijazah LL.B (Hons) pada tahun 1974 dan telah menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.Jawatan yang pernah disandang beliau adalah termasuk sebagai Peguam Persekutuan Mahkamah Tinggi Malaya. Pada tahun 1978 beliau telah dilantik sebagai Penasihat Undang-Undang, Kementerian Perusahaan Utama sebelum melanjutkan pelajaran  di United Kingdom. Pada tahun 1978 beliau telah mengikuti kursus LL.M di University College London dalam bidang undang-undang percukaian dan pada masa yang sama mengikuti kursus Bar Final. Pada tahun 1979, beliau telah lulus Bar Final Examination dan telah diterima masuk sebagai Barrister oleh Lincoln’s Inn serta dianugerahkan ijazah LL.M oleh University College London.

 

Selepas tamat pengajian, beliau telah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan termasuk Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Hasil Dalam Negeri. Pada tahun 1981, beliau telah dilantik sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka sehingga 1983. Kemudiannya, beliau telah berpindah ke Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai Penasihat Undang-Undang Parlimen. Jawatan terakhir yang disandang dalam perkhidmatan awam ialah Ketua Bahagian Undang-Undang di Jabatan Hasil Dalam Negeri. Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, telah mewakili Kerajaan Malaysia dalam rundingan antarabangsa seperti “International Tin Agreement” dan perjanjian cukai dua hala.

Pada 1.3.1992, beliau telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman dan dua tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya. Pada tahun 2002, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada tahun 2005. Beliau telah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 12.09.2011

Beliau juga dilantik ke beberapa badan lain sepanjang perkhidmatannya sebagai  hakim iaitu :

  • Anggota Panel Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Kelantan;
  • Hakim Mahkamah Khas menurut Perkara 182(1) Perlembagaan Persekutuan;
  • Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman & Perundangan;
  • Ahli Lembaga Kelayakan Di Bawah Seksyen 7(b) Akta Profession Undang-Undang 1976;
  • Ahli Jawatankuasa Kaedah-Kaedah Mahkamah dan Kaedah-Kaedaah Mahkamah Rendah.

Sebagai penghargaan kepada perkhidmatan beliau kepada negara, beliau telah dianugerahkan darjah-darjah kebesaran berikut:

  • Darjah Seri Setia Mahkota Malaysia (Persekutuan) S.S.M (02.06.2012)
  • Darjah Panglima Setia Mahkota (Persekutuan) P.S.M (06.06.2009)
  • Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (Selangor) S.P.M.S (11.12.2012)
  • Darjah Kebesaran Seri Paduka Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (Kelantan) S.P.S.K (30.03.2005)
  • Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (Perak) S.PC.M (22.05. 2012)
  • Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (Pahang) S.S.A.P (24.10.2012)
  • Darjah Utama Pangkuan Negeri (Pulau Pinang) D.U.P.N (14.07.2012)
  • Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (Perak) S.P.M.P (19.04.2010)
  • Darjah Dato' Paduka Mahkota Kelantan (Kelantan) D.P.M.K (30.03.1999)
  • Darjah Dato' Paduka Cura Simanja Kini (Perak) D.P.C.M (19.04.1988)

 

YAA Tun Dato' Seri Arifin bin Zakaria telah mendirikan rumah tangga bersama Toh Puan Robiah bte Abd Kadir dan mempunyai lima orang anak.

 

Alamat

Kamar Ketua Hakim Negara,

Mahkamah Persekutuan Malaysia,

Aras 5 Utara, Istana Kehakiman,

Presint 3,

62506 PUTRAJAYA

No. Tel: +603 8880 3502

No. Faks: +603 8880 3507

Emel: cj@kehakiman.gov.my

 

English