Kompleks Mahkamah Kuantan

 

SEJARAH LATAR BELAKANG KOMPLEKS MAHKAMAH KUANTAN

Berdasarkan catatan sejarah, Kuantan telah wujud sebagai penempatan sekitar kurun ke-19 atau semenjak awal tahun 1850-an lagi. Kuantan merupakan ibu negeri bagi Negeri Pahang yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia di antara garis lintang 3° 49' 0" di utara dan garis bujur 102° 20' 0" di timur. Di bahagian timur ialah Laut Cina Selatan dengan panjang kawasan pantai 56 km (35 batu). Di sebelah barat ialah Daerah Maran dan Jerantut, di utara ialah Negeri Terengganu dan di selatan ialah Daerah Pekan.

Bangunan Mahkamah Kuantan telah dibina pada 1915. Pada masa  penjajahan Inggeris, ia digunakan oleh pihak kolonial untuk membicarakan kes di bawah undang-undang Inggeris. Selaras dengan peruntukan Ordinan Mahkamah 1948, Mahkamah Kuantan mula beroperasi pada 1 Januari 1949. Kompleks Mahkamah tersebut telah menempatkan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.

Bangunan Mahkamah Kuantan pada tahun 1915

Pada awal penubuhannya, Mahkamah Kuantan merupakan sebuah bangunan setingkat dan kes-kesnya dibicarakan secara litar oleh pegawai-pegawai kehakiman dari Mahkamah Kota Bahru dan Mahkamah Majistret Kemaman. Kes-kes di Mahkamah Tinggi dibicarakan oleh Mr. Justice Moor dari Kota Bahru, Kelantan manakala kes-kes di Mahkamah Sesyen dibicarakan oleh Mr. J.R Whimster, Presiden Mahkamah Sesyen Kota Bahru, Kelantan. Bagi Mahkamah Majistret pula, perbicaraan kes-kes dikendalikan oleh Majistret Tuan Embong bin Dato' Jaya di Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu.

Pada tahun 1973, sebuah bangunan dua tingkat siap dibina dengan menempatkan Mahkamah Tinggi di tingkat atas dan Mahkamah Sesyen di tingkat bawah. Bangunan ini, telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Billah Sultan Abdullah pada 19 April 1973. Bangunan Mahkamah yang lama telah diubahsuai untuk menempatkan Mahkamah Majistret. Pada masa yang sama, keputusan telah dibuat untuk membesarkan Bahagian Pentadbiran dengan dilengkapi sistem penghawa dingin bagi keseluruhan bangunan Mahkamah. Negeri Pahang ketika itu merupakan negeri pertama mempunyai bangunan Mahkamah berhawa dingin sepenuhnya. Kerajaan Negeri Pahang juga telah menyumbang sejumlah RM16,000 bagi pembelian Jurnal Perundangan untuk Perpustakaan Mahkamah Kuantan ketika itu.

Pada tahun 1975, Mahkamah Kuantan menerima Hakim Mahkamah Tinggi tempatan yang pertama iaitu YA. Dato' Wan Hamzah bin Wan Mohd Salleh. Pertambahan kes dan beban kerja yang semakin meningkat telah menyebabkan jumlah Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret turut bertambah. Pada tahun 1992, bangunan Mahkamah lama telah diubahsuai daripada dua bilik bicara kepada 4 bilik bicara iaitu satu bilik bicara bagi Mahkamah Sesyen dan tiga bilik bicara untuk Mahkamah Majistret. Pada masa yang sama, ruang menunggu yang disediakan untuk orang awam ketika itu telah diubahsuai menjadi Unit Pendaftaran dan Pentadbiran Jenayah.

Kompleks Bangunan Mahkamah Kuantan di Jalan Masjid

Disamping itu juga, ruang Bangunan Wisma Pahlawan telah disewa dan dijadikan Mahkamah Majistret Sivil Kuantan. Manakala struktur Mahkamah di bangunan lama telah disusun semula iaitu dua bilik bicara bagi Mahkamah Majistret Jenayah dan duan bilik bicara bagi Mahkamah Sesyen.

Mahkamah Majistret Sivil di Wisma Pahlawan, Kuantan

Sikap prihatin serta kunjungan rasmi yang berterusan ke Mahkamah Kuantan oleh YAA Ketua Hakim Negara ketika itu iaitu YAA. Tun Dato' Sri Ahmad Fairuz bin Dato' Sheikh Abdul Halim telah memberi satu harapan barukepada semua warga Mahkamah Kuantan untuk mendapatkan sebuah bangunan Mahkamah baru yang lebih luas dan selesa. Atas hasil usaha YAA Ketua Hakim Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri telah membuahkan hasil apabila satu tapak baru untuk membina Komplek Mahkamah Kuantan seluas 94,000 kaki persegi telah diluluskan di Bandar Indera Mahkota. Urusan pembelian telah disempurnakan pada 10 Oktober 2005 dan pembinaan Kompleks Mahkamah tersebut telah siap sepenuhnya pada bulan April 2012.

Pembinaan Kompleks Mahkamah Kuantan Yang Baru

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah telah berkenan mencemar duli merasmikan Kompleks Mahkamah Kuantan, Bandar Indera Mahkota Kuantan pada 27 Mei 2013. Kompleks Mahkamah Kuantan yang baru telah diserahkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) kepada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 20 Julai 2012 dan telah mula beroperasi sepenuhnya pada 23 Julai 2012.

 

Kompleks Mahkamah Kuantan

Kompleks ini mempunyai 23 bilik bicara iaitu 3 bilik bicara Mahkamah Tinggi, 10 bilik bicara Mahkamah Sesyen dan 10 bilik bicara Mahkamah Majistret. Kompleks ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi kegunaan kakitangan dan pelanggan Mahkamah. Kemudahan tersebut adalah seperti Mahkamah Khas untuk Vulnerable Witness, Pusat Mediasi, Bilik Peguam, Dewan Serbaguna, Bilik Mesyuarat, Bilik Perbincangan Awam, Bilik Latihan, Perpustakaan dan Surau Awam. Kompleks ini juga mesra pengguna dimana terdapat laluan khas, parkir, kerusi roda dan tandas khas untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Kompleks Mahkamah Kuantan juga turut dimuatkan dengan teknologi Mahkamah terkini seperti Court Recording dan Transcription (CRT), perkhidmatan Biro Perkhidmatan e-Filing dan Case Management System dibawah Sistem e-Kehakiman Fasa 2 serta menjadi Pusat Operasi Sistem e-Lelong Bagi Kes-kes Lelong Awam Harta Tak Alih di Mahkamah Tinggi (e-Lelong).

 

Melayu