YA Dato' Balia Yusof bin Haji Wahi

YA Dato’ Balia Yusof bin Haji Wahi dilahirkan pada 26hb September 1952 di Parit, Perak. YA Dato’ mendapat pendidikan awal di Sekolah Iskandar Shah, Parit dan kemudiannya di Anderson School, Ipoh.  Pada tahun 1973 YA Dato’ telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam bidang undang-undang dan dianugerahkan ijazah LLB (Hons) dalam tahun 1977.

 

Setelah tamat pengajian YA Dato’ telah memegang beberapa jawatan penting dalam Kerajaan termasuk sebagai Penolong Pengarah, Biro Bantuan Guaman Negeri Johor pada tahun 1977.  Pada 1hb Januari 1980 YA Dato’ telah dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara dan pada 1hb Julai 1980 YA Dato’ telah dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan.  YA Dato’ berpindah ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja pada 1 Januari 1984 setelah dilantik sebagai Penasihat Undang-undang Jabatan. YA Dato’ dilantik sebagai Peguam Kanan Persekutan, Jabatan Hasil Dalam Negeri, Kuala Lumpur pada 15 Ogos 1985, Peguam Kanan Persekutan, Kementerian Dalam Negeri pada 1 Januari 1989 dan Penasihat Undang-undang Negeri Selangor pada 1 Disember 1992.  Pada 1 April 1994 YA Dato’ telah menyandang jawatan Timbalan Penggubal Undang-undang Parlimen, Jabatan Peguam Negara dan seterusnya pada 1 November 1994 YA Dato’ telah dilantik sebagai Peguamcara Perbendaharaan Malaysia. Jawatan terakhir yang disandang di dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan adalah sebagai Pengerusi, Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan Malaysia.

 

Semasa berkhidmat sebagai Peguamcara Perbendaharaan Malaysia, YA Dato’ juga telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Bumiputra Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Lambaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA) mewakili pihak kerajaan.  Pada 1 Januari 2002 YA Dato’ telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah dan kemudian pada 21 Disember 2004 telah dilantik sebagai Hakim, Mahkamah Tinggi Malaya, Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak.  YA Dato’ telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 11 Mei 2011.

 

Sebagai penghargaan kepada perkhidmatan YA Dato’ kepada Negara, YA Dato’ telah dianugerahkan darjah-darjah kebesaran berikut:

              
1. Darjah Dato’ Paduka Mahkota (Selangor) (DPMS) -   1994
2. Kesatria Mangku Negara (Persekutuan) (KMN)       -   1994
3. Pingat Ibrahim Sultan (Johor) (PIS)                       -   1978
 

YA Dato’ telah mendirikan rumahtangga dengan Yg Bhg Datin Faridah binti Dato’ Haji Amiruddin dan mempunyai empat orang anak.

 

ALAMAT

Kamar Hakim Mahkamah Persekutuan
Mahkamah Persekutuan Malaysia
Aras 4 Selatan, Istana Kehakiman
Presint 3

62506 PUTRAJAYA

 

 +603 8880 3709  +603 8880 3533
  balia@kehakiman.gov.my

Jawatan: 
Hakim Mahkamah Persekutuan
Anugerah: 
DPMS, KMN, PIS
Gambar: