SEJARAH MAHKAMAH NEGERI TERENGGANU

SEJARAH MAHKAMAH KUALA TERENGGANU

 

MAHKAMAH TERAWAL DI NEGERI TERENGGANU

 

Sebelum tahun 1920 :       Pengurusan Mahkamah Kuala Terengganu telah wujud di perkarangan Istana Maziah.

 

MAHKAMAH JALAN PEJABAT

 

Akhir 20-an :           Sebuah bangunan kayu telah dibina untuk dijadikan bangunan Mahkamah di Jalan Pejabat, berhampiran dengan Bangunan Wisma Darul Iman sekarang ini. Bangunan ini mempunyai 2 buah dewan bicara dan digunakan sehingga tahun 1965.

 

Tahun 1967 :           Bangunan kayu tersebut dirobohkan.

 

MAHKAMAH JALAN SULTAN ISMAIL

 

Tahun 1965-           Sebuah Mahkamah yang baru telah dibina di Jalan Sultan Ismail. Bangunan batu dua tingkat ini mengandungi sebuah dewan bicara Mahkamah Tinggi dan sebuah dewan bicara untuk Mahkamah Sesyen dan Majistret. Satu bilik di tingkat satu digunakan oleh Jabatan Amanah Raya. Mahkamah ini mempunyai seorang Yang Di Pertua Mahkamah Sesyen, seorang Majistret dan seorang Pendaftar Mahkamah  Rendah. Yang Di Pertua Mahkamah Sesyen juga dikehendaki menjalankan tugas Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi. Kes-kes Mahkamah Tinggi dikendalikan oleh Hakim Litar Mahkamah Tinggi yang datang dari Kota Bharu dan Kuala Lumpur. Antara Hakim-Hakim Litar yang pernah  bertugas di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mulai dari tahun empat puluhan hingga tahun 1983 ialah:

 

Yang Arif Hakim C.J.S. Smith

Hakim F.A. Briggs
Hakim A.W. Belamy
Hakim M.G. Neal
Hakim T.R. Hepworth
Hakim Datuk Mahmud bin Hasim
Hakim Dato’ Syed Othman bin Ali
Hakim Dato’ Ibrahim b. Abdul Manan
Hakim Ab. Razak bin Datuk Abu Samah
Hakim Tan Sri Dato’ Haji Mohd Zahir bin Haji Ismail
Y.A.A. Hakim Tun Dato’ Haji Mohamad Salleh bin Abas (ketika itu)
Y.A.A. Hakim Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohd Eusoff bin Chin (ketika itu)

                                               

dan lain-lain lagi.

 

Awal 40-an :          Zaman ini juga memperlihatkan kekurangan Peguam di negeri Terengganu. Oleh itu, muncullah beberapa orang penulis petisyen yang tidak berkelulusan undang-undang yang dikenali sebagai “Pleader” untuk mengendalikan kes-kes di Mahkamah Kuala Terengganu. Satu enakmen iaitu Enakmen Pleader dan Penulis 1983 telah dikeluarkan untuk membenarkan mereka mengamalkan undang-undang di negeri ini. Amalan ini yang hanya terdapat di Negeri Terengganu berterusan hingga awal tahun lapan puluhan, di mana ianya terus pupus begitu sahaja. Ini mungkin disebabkan oleh pertambahan bilangan peguam-peguam di negeri ini yang menyebabkan khidmat pleader ini tidak diperlukan lagi. Antara pleader-pleader berlesen ialah:

 

Haji Che Noh (tarikh kematian tidak pasti)
Haji Embong hin Haji Idris (tarikh kematian tidak pasti)
Pak Ishak bin Mohd Arif (meninggal pada tahun 60-an)
Maiden bin Mohamed Ibrahim (meninggal pada tahun 60-an)
Haji Omar bin Haji Arshad (meninggal pada tahun 80-an)


 

Awal 80-an :           Bangunan Mahkamah tersebut telah mengalami keretakan yang teruk dan usaha-usaha untuk membaikpulih telah dijalankan.

 

MAHKAMAH JALAN SULTAN OMAR

 

Tahun 1983:           Bangunan Mahkamah Jalan Sultan Ismail tersebut telah diisytiharkan tidak selamat untuk digunakan. Oleh itu, bangunan Mahkamah Kuala Terengganu   telah berpindah sekali lagi ke sebuah bangunan kayu sementara yang terletak di Jalan Sultan Omar. Bangunan dua tingkat berbentuk huruf ‘U’ ini bercorak gerabak dan dibina secara pasang siap dengan kos sebanyak RM1.4 juta.

 

Tahun 1984 :          Buat pertama kalinya seorang Hakim Mahkamah Tinggi yang tetap telah ditempatkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. Hakim tersebut ialah Yang Arif Dato’ Haji Wan Mohamed bin Haji Wan Mustafa dan penempatan beliau pada masa itu amat bertepatan sekali untuk menyelesaikan kes-kes Mahkamah Tinggi yang kian bertambah.

 

Bangunan Mahkamah Sementara ini pada mulanya dijangka untk digunakan selama 5 atau 6 tahun sahaja, tetapi ianya telah digunakan selama 12 tahun kerana kelewatan menyiapkan Mahkamah Baru yang tetap.

 

MAHKAMAH JALAN SULTAN MOHAMAD

 

Ogos 1995:              Perpindahan ke Bangunan Mahkamah Baru bermula secara berperingkat dengan tujuan tidak mengganggu kes-kes yang telah ditetapkan untuk bicara.

 

September 1995   

sehingga kini:         Semua fungsi Mahkamah dan perbicaraan kes telah dijalankan di Bangunan Mahkamah Baru.

 

(Rujukan:Buku Cenderamata “Istiadat Perasmian Bangunan Baru Mahkamah Kuala Terengganu Darul Iman” – Pada Hari Sabtu, 15 Mac, 1997 bersamaan 6 Zulkaedah 1417)

Melayu