Sejarah Mahkamah Kuala Lumpur
Pendahuluan
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur merupakan sebuah kompleks bangunan mahkamah terpenting dalam institusi Badan Kehakiman Malaysia. Bangunan yang kini berdiri megah di Jalan Tuanku Abdul Halim (dahulunya dikenali sebagai Jalan Duta) merupakan kompleks mahkamah terbesar di Malaysia dan yang kedua terbesar di benua Asia.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menghimpunkan tiga jenis mahkamah di bawah satu bumbung iaitu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.
Sejarah Mahkamah Kuala Lumpur
Sejarah penempatan Mahkamah Kuala Lumpur berasal dari lima buah bangunan yang utama di ibu kota Kuala Lumpur. Pada asalnya, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret masing-masing terletak di bangunan yang berasingan.
Bangunan-bangunan yang menyaksikan sejarah penempatan Mahkamah Kuala Lumpur ini ialah Bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Wisma Denmark, Bukit Mahkamah atau juga dikenali sebagai Court Hill, ‘Bangunan Kayu’ di Jalan Duta dan juga bangunan Dewan Bandaraya atau dikenali sebagai City Hall Building.
Pada sekitar tahun 1978, Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beroperasi di Bangunan Mahkamah yang terletak di Jalan Raja, iaitu berhampiran dengan Masjid Jamek Kuala Lumpur.
Pada tahun 1984, Mahkamah Persekutuan telah kemudiannya ditempatkan di Bangunan Sultan Abdul Samad, yang juga terletak di Jalan Raja (dahulunya dikenali sebagai Gombak Road) dan berhadapan dengan Dataran Merdeka dan Kelab Diraja Selangor. Bersempena dengan penempatan Mahkamah Persekutuan di Bangunan Sultan Abdul Samad, nama Jalan Belanda di belakang bangunan tersebut telah ditukar kepada Jalan Mahkamah Persekutuan.
Perletakan batu asas bangunan Sultan Abdul Samad telah dilakukan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Charles B. H. Mitchell K.C.M.G. pada 6 Oktober 1894. Residen British di Selangor pada waktu tersebut ialah W. H. Treacher C.M.C. Setelah siap sepenuhnya, bangunan ini telah dirasmikan oleh Residen Jeneral Negeri Selangor, iaitu Sir Frank Swettenham K.C.M.G. pada 4 April 1897.
Tujuan pembinaan bangunan ini pada asalnya adalah sebagai pejabat pentadbiran British di Selangor yang pada masa itu memerlukan ibu pejabat baru bagi mentadbir negeri. Sebelum itu, ibu negeri Selangor terletak di Klang dengan kedudukannya yang agak jauh dari kawasan yang maju di Kuala Lumpur.
Sultan Abdul Samad yang merupakan pemerintah negeri Selangor dari tahun 1857 hingga 1898 telah bersetuju untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai ibu negeri Selangor. Antara pejabat yang ditempatkan di bangunan tersebut ialah Sekretariat Kerajaan (G.S.O); Bilik Mesyuarat Majlis Negeri (Council Chamber); Pejabat Pos; Lembaga Kebersihan (Sanitary Board); Pejabat Kehakiman (Judicial Commissioner); Jabatan Audit dan Perbendaharaan; Pejabat Tanah; Jabatan Galian; dan Pejabat Daerah Jabatan Kerja Raya (P.W.D. District Office).
Kerja-kerja pembinaan dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (P.W.D). Bangunan ini direka bentuk oleh arkitek Inggeris bernama Arthur Charles Alfred Norman pada sekitar tahun 1893 hingga 1897. Norman menghabiskan masa di benua Afrika dan mendapat ilham daripada masjid di India seperti Taj Mahal yang membawa kepada ciri seni bina Moor dalam arkitektur Bangunan Sultan Abdul Samad. Charles Edwin Spooner bertindak sebagai perancang dan Jurutera Negeri . Pengarah P.W.D ialah R. A. J. Bidwell A.B. Hubback yang berperanan menyediakan pelan dan lukisan reka bentuk.
Idea dan reka bentuk Bangunan Sultan Abdul Samad sebenarya telah bermula seawal tahun 1889 setelah W. E. Maxwell mengambil alih tugas sebagai Residen British di Selangor. Kuala Lumpur sebagai ibu negeri Selangor pada masa itu hanya mempunyai bangunan-bangunan rumah kedai dan beberapa bangunan kerajaan yang tidak begitu menonjol. Maxwell telah membawa C. E. Spooner dari Ceylon dengan dibantu oleh Bellamy dan A.C. Norman. Reka bentuk asal yang dikemukakan oleh Norman adalah hanya sebuah bangunan yang berkonsepkan Inggeris Classical Rennaisance. Bidwell bertanggungjawab dalam mengadaptasi seni bina Islam (Mahometan style) sebagai tonggak ciri dan reka bentuk bangunan tersebut selepas Spooner kurang berpuas hati dengan reka bentuk asal yang dikemukakan oleh A.C. Norman.
Tempoh masa pembinaan ialah selama 2 tahun 7 bulan. Sebuah kilang batu-bata telah dibina di Brickfields bagi membekalkan bahan binaan seperti 4 juta batu-bata, 2,500 tong simen, 18,000 pikul kapur, 5,000 lb tembaga, 50 tan besi keluli dan 30,000 kaki padu kayu. Batu-bata yang berkualiti dan berwarna merah pula dibawa dari India. Antara kontraktor kecil yang membawa batu-bata ini ialah Ghouse yang berasal dari Chittagong, India (sekarang dikenali sebagai Bangladesh). Batu-bata ini dibawa terus melalui Sungai Kelang dan berlabuh di sebuah pangkalan yang terletak berhampiran dengan Masjid Jamek sekarang.
Bangunan dua tingkat bercirikan Cardova dan Mesir ini juga mempunyai ketinggian 17.5 meter dengan menara jam setinggi 41.5 meter dan meliputi kawasan seluas 10,200 meter persegi. Reka bentuk binaannya adalah berbentuk Soracenic yang berasaskan seni bina Moghul dan Moor. Tingkap dan pintunya berbentuk melengkung seperti masjid-masjid di Cordova dan Mesir. Ciri-ciri utama bangunan ini adalah ketiga-tiga kubahnya, menara jam besar dan arked serta lengkungannya yang luas. Ketiga-tiga kubah tersebut yang asalnya diperbuat daripada kayu dan batu- bata yang dicat hitam telah digantikan dengan kubah-kubah bersalut tembaga.
Kubah yang terletak di atas menara jam besar diapit oleh dua kubah kecil dengan tangga pilin menurun. Kubah tengah agak luar biasa kerana ia adalah paduan dua ciri tradisional kubah dan kios. Menara jam ini dijaga dan telah dibaiki dari semasa ke semasa kerana menjadi waktu utama (standard) di seluruh Malaysia. Menara jam ini menyerupai Big Ben yang terdapat di Kota London.
Pada peringkat awal, bangunan Sultan Abdul Samad ini telah dikenali sebagai Pejabat Baru Kerajaan (New Government Offices). Apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk pada tahun 1948, bangunan ini dinamakan Sekretariat Persekutuan (Federal Secretariat). Pada tahun 1974, semua pejabat Kerajaan Negeri Selangor telah dipindahkan ke Shah Alam manakala pejabat kerajaan Persekutuan Malaysia pula telah dipindahkan ke Jalan Duta, Damansara. Selain itu, nama bangunan ini juga telah ditukar kepada nama Bangunan Sultan Abdul Samad sempena dengan nama Sultan Selangor yang memerintah dari tahun 1857 hingga 1898 dan nama ini kekal sehingga sekarang.
Pada sekitar tahun 1977, penempatan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah dipindahkan ke ‘Bangunan Kayu’ yang terletak di Jalan Duta. Selepas 12 tahun iaitu dalam tahun 1989, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah berpindah ke Bangunan Dewan Bandaraya atau lebih dikenali dengan City Hall Building manakala Mahkamah Majistret pula terus beroperasi di Bangunan Kayu.
Pada bulan Mac 1992, kebakaran telah berlaku di Bangunan Mahkamah yang terletak di Jalan Raja. Ketika itu, bangunan tersebut baru sahaja dikosongkan bagi membolehkan kerja pengubahsuaian dijalankan bagi menempatkan tiga belas buah Mahkamah Majistret. Pada Disember tahun yang sama, kebakaran kali kedua telah berlaku di bangunan tersebut yang dikatakan berpunca daripada kejadian litar pintas. Kejadian tersebut telah memusnahkan sebahagian besar bilik-bilik mahkamah, kamar hakim, bilik fail dan perpustakaan. Walau bagaimana pun, memorial plaque yang memperingati jasa para hakim, peguam dan pegawai undang-undang yang meninggal dunia ketika Perang Dunia Kedua terselamat dan kini ditempatkan di Muzium Kehakiman di Istana Kehakiman, Putrajaya. Selepas daripada kejadian tersebut, penempatan Mahkamah Tinggi Bahagian Jenayah, Dagang, Sivil, Keluarga dan Rayuan Kuasa-kuasa Khas telah dipindahkan ke Bangunan Sultan Abdul Samad.
Selain kebakaran, bencana banjir yang melanda Bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Mahkamah di Jalan Raja dan City Hall Building pada sekitar tahun 1971, 1998 dan 2003 telah turut memusnahkan fail-fail dan juga jurnal undang-undang. Kejadian-kejadian banjir tersebut berlaku disebabkan oleh jumlah hujan lebat dan ditambah pula dengan sistem saliran yang tidak begitu memuaskan di sekitar kawasan Kuala Lumpur yang pada ketika itu sarat dengan projek pembangunan yang pesat. Selain itu, terdapat juga pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak di belakang bangunan tersebut yang menyebabkan limpahan air sungai apabila hujan lebat melanda.
Penubuhan Mahkamah Rayuan Malaysia pada tahun 1994 menyaksikan penempatan awalnya di sebahagian Bangunan General Post Office. Pada tahun 1995, kesemua Mahkamah Majistret yang terletak di Bangunan Kayu di Jalan Duta telah dipindahkan ke Bangunan Dewan Bandaraya sementara penempatan Mahkamah Tinggi Bahagian Dagang, Sivil, Keluarga dan Rayuan Kuasa-Kuasa Khas yang terletak di Bangunan Sultan Abdul Samad pula telah dipindahkan ke Wisma Denmark, Jalan Ampang.
Pada tahun 1997, penempatan dua buah Mahkamah Tinggi Bahagian Jenayah telah dipindahkan semula ke Bangunan Mahkamah di Jalan Raja. Pada tahun 2000, Mahkamah Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas dan Mahkamah Keluarga yang terletak di Bangunan Wisma Denmark, Jalan Ampang telah berpindah ke Bangunan Kraftangan Malaysia yang terletak di Jalan Sultan Hishamudin.
Pada 23 Oktober 2003, penempatan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan telah dipindahkan ke Istana Kehakiman atau Palace of Justice di Putrajaya. Bangunan Istana Kehakiman tersebut yang tersergam indah adalah antara bangunan yang tercantik dari segi keunikan reka bentuknya dan menjadi mercu tanda utama di Putrajaya.
Selepas daripada perpindahan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan ke Istana Kehakiman, penempatan lapan buah Mahkamah Tinggi Bahagian Dagang yang telah dipindahkan ke Bangunan Wisma Denmark telah dikembalikan semula ke Bangunan Sultan Abdul Samad dan Bangunan General Post Office.
Perpindahan Ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta
Menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-7, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur telah dibina di atas tanah seluas 30 ekar di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Kompleks bernilai 270 juta ringgit ini mula dibina pada 1 Mac 2004 dan telah diserahkan secara rasmi oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada 17 April 2007. Perpindahan Mahkamah Tinggi dari Bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Wisma Denmark dan Bangunan Kraftangan Malaysia ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur telah dilaksanakan secara berperingkat bermula pada bulan April 2007 dan kemudiannya disusuli dengan perpindahan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur ini telah mula beroperasi sepenuhnya pada 3 Mei 2007 dan telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Ketiga Belas, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billal Shah pada 28 Ogos 2007.
Reka bentuk bangunan kompleks ini yang bersepadu, simetri dan seimbang menggambarkan imej mahkamah sebagai sebuah institusi yang kukuh, stabil, adil dan berkuasa. Ciri-ciri classical architecture seperti penggunaan tiang-tiang besar, tangga yang lebar, paras lantai bawah yang dinaikkan dan kemasan bahan batu mengukuhkan lagi imej mahkamah.
Lokasinya yang strategik dengan dikelilingi pejabat-pejabat kerajaan, Masjid Wilayah Kuala Lumpur dan juga Bangunan MATRADE menjadikan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur salah satu daya tarikan dan tumpuan orang ramai sama ada dari dalam mahu pun luar negara. Seawal pembukaannya lagi, kompleks ini telah menerima kunjungan delegasi dari pelbagai negara luar seperti Kazakhstan dan Indonesia.
Kompleks mahkamah lapan tingkat ini menempatkan 84 bilik bicara iaitu 32 bilik bicara Mahkamah Tinggi, 24 Mahkamah Sesyen dan 18 Mahkamah Majistret dan 10 bilik bicara yang lain. Seni bina kompleks ini yang berbentuk huruf ‘U’ menggambarkan aspirasi Badan Kehakiman dalam mendukung dan mempertahan kedaulatan undang-undang.
Selain itu, bangunan kompleks ini turut merangkumi pejabat pentadbiran, bilik mesyuarat, pusat mediasi, perpustakaan, kaunter-kaunter perkhidmatan, surau, kafeteria, bank, bilik media, bilik sidang video, bilik peguam, bilik Timbalan Pendakwa Raya, bilik saksi, pejabat polis mahkamah serta lokap, pusat jagaan kanak-kanak dan lain-lain lagi.
Terdapat juga tempat meletakkan kenderaan yang disediakan di dalam bangunan dan sekitar kawasan mahkamah untuk kegunaan Hakim, pegawai dan kakitangan mahkamah, peguam dan orang awam.
Mahkamah Tinggi
Penubuhan mahkamah-mahkamah baharu telah banyak membantu dalam melancarkan sistem pentadbiran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pembahagian Mahkamah-Mahkamah Tinggi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
Mahkamah-Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah dibahagikan kepada beberapa Bahagian utama seperti di berikut, bagi memastikan kecekapan pengkhususan (subject matter expert):
- Mahkamah Tinggi Bahagian Jenayah
- Terdiri daripada –
- Mahkamah-Mahkamah Tinggi Jenayah
- Terdiri daripada –
- Mahkamah Tinggi Bahagian Sivil
- Terdiri daripada –
- Mahkamah Tinggi NCVC
- Mahkamah Tinggi OCVC
- Mahkamah Tinggi BKK (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas)
- Mahkamah Tinggi Keluarga
- Terdiri daripada –
- Mahkamah Tinggi Bahagian Dagang
- Terdiri daripada –
- Mahkamah-Mahkamah Tinggi NCC
- Mahkamah Tinggi Harta Intelek
- Mahkamah Tinggu Muamalat
- Mahkamah Tinggi Admiralti
- Mahkamah Tinggi Insolvensi
- Mahkamah Tinggi Pembinaan
- Terdiri daripada –
Mahkamah Tinggi Dagang Baharu atau New Commercial Court (NCC) dan Mahkamah Tinggi Sivil Baharu atau New Civil Court (NCvC) telah masing-masing ditubuhkan pada September 2009 dan Oktober 2010 dengan berteraskan kepada sistem pendaftaran dan pengagihan kes secara kitaran. Penubuhan Mahkamah NCC dan NCvC merupakan suatu inisiatif kepada industri perdagangan negara dalam usaha untuk melupuskan kes-kes komersial dan sivil dalam masa yang lebih singkat dan memastikan remedi yang cepat dan berkesan dalam setiap tuntutan yang difailkan di mahkamah.
Bagi Mahkamah Tinggi NCVC, sebelum 3 Februari 2022, terdapat 10 Mahkamah di mana ke semua 10 Mahkamah diklasifikasikan sebagai Mahkamah Tinggi NCVC dan menerima pendaftaran kes secara giliran. terdapat penstrukturan semula yang telah dilaksanakan bermula 3 Februari 2022 dan pertambahan Mahkamah daripada 10 kepada 12 Bilik Bicara Mahkamah Tinggi Sivil ( 6 Mahkamah Tinggi NCvC dan 6 Mahkamah Tinggi OCvC).
Penetapan telah dibuat di mana hanya 6 Mahkamah Tinggi NCVC akan menerima kes-kes pendaftaran baru bermula Februari 2022 dan 6 Mahkamah Tinggi Sivil yang selebihnya yang dikenali sebagai OCVC tidak menerima kes-kes pendaftaran baru kerana ditugaskan untuk mengendalikan semua kes Pra-Februari 2022 bagi kod Writ dan Rujukan Tanah daripada ke semua Mahkamah-Mahkamah NCVC.
Penstrukturan semula ini tidak terpakai bagi Mahkamah Tinggi BKK dan Keluarga dan mereka masih menerima pemfailan kes baru pada dasar harian seperti sebelum ini (tiada ‘cycle’ ditetapkan).
Mahkamah Tinggi Admiralti telah ditubuhkan pada 1 Oktober 2010 sebagai mahkamah khas dalam mengendalikan tuntutan yang berkaitan perkapalan dan Undang-undang Maritim dan Penerbangan.
Pada 17 Julai 2007, Mahkamah Harta Intelek telah dilancarkan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Mahkamah Tinggi Pembinaan Kuala Lumpur telah diperkenalkan dengan usaha sama Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan dirasmikan pada 14 April 2014 oleh YAA Tun Arifin Zakaria, Ketua Hakim Negara yang ke-13.
Seterusnya pada tahun 2017, Mahkamah Tinggi Insolvensi Kuala Lumpur telah diwujudkan susulan daripada langkah yang telah diambil oleh kerajaan dalam mengkaji dan meminda semula undang-undang kebankrapan dan insolvensi.
Terdapat 12 Mahkamah Sesyen yang mendengar kes-kes sivil dan 8 Mahkamah Majistret yang mendengar kes-kes sivil.
Pusat Mediasi Mahkamah yang pertama telah diwujudkan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 1 April 2011 hasil cetusan idea Hakim Besar Malaya ketika itu, YAA Tan Sri Arifin bin Zakaria setelah beliau mendapati bahawa proses mediasi banyak menyumbang kepada penjimatan masa, tenaga dan kos bagi semua pihak yang terlibat dalam melupuskan kes-kes yang telah difailkan di Mahkamah. Pusat Mediasi menerima kes-kes Sivil yang dirujuk oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah dalam keadaan berikut:
- Apabila Hakim atau Pegawai Kehakiman mendapati bahawa kes tersebut boleh dirujuk ke Pusat Mediasi;
- Atas permohonan mana-mana pihak dalam pertikaian/kes tersebut; dan
- Rujukan secara automatik bagi kes-kes kemalangan jalan raya sahaja.
Pada masa ini, terdapat 5 buah Mahkamah Tinggi, 12 buah Mahkamah Sesyen dan 10 buah Mahkamah Majistret Jenayah yang ditempatkan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Dalam usaha mempertingkatkan kelancaran dan akses kepada sistem keadilan jenayah, mahkamah-mahkamah khas telah ditubuhkan di Mahkamah Kuala Lumpur seperti Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Mahkamah Sesyen Koroner, Mahkamah Sesyen Khas Siber, Mahkamah Majistret Trafik dan Mahkamah Kanak-Kanak.
Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur telah mula beroperasi pada 16.2.2011 manakala Mahkamah Sesyen Khas Siber Kuala Lumpur telah ditubuhkan pada 1.9.2016.
Selain itu, beberapa ciri baharu dalam aspek pengurusan dan pentadbiran jenayah juga telah diperkenalkan oleh Badan Kehakiman Malaysia dan telah digunakan secara meluas di Mahkamah Kuala Lumpur. Antara ciri-ciri baharu tersebut adalah:
- ePG di mana prosiding pengakuan salah dan pengemukaan rayuan bagi kes-kes kesalahan trafik boleh dibuat secara atas talian tanpa memerlukan kehadiran fizikal pesalah di mahkamah;
- eJamin di mana urusan pembayaran wang jaminan ke atas tertuduh boleh dilaksanakan secara atas talian atau secara tunai melalui Cash Deposit Machine (CDM);
- eDenda di mana urusan pembayaran wang denda boleh dibuat secara atas talian;
- eBicara di mana prosiding pendengaran kes-kes rayuan dan permohonan jenayah dijalankan secara paperless dan tanpa memerlukan rekod atau dokumen fizikal di mahkamah;
- eRekod Rayuan di mana penyediaan rekod rayuan bagi kes rayuan jenayah dibuat secara paperless melalui Case Management System (CMS) mahkamah.
Bahagian Penyelidikan
Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah ditubuhkan pada 29 April 2019 secara khusus untuk Bahagian Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pada tahun 2022, penyelarasan semula telah dibuat dan unit ini telah diletakkan di bawah Bahagian Penyelidikan, Pejabat Ketua Hakim Negara, Mahkamah Persekutuan Malaysia.
Objektif utama penubuhan Unit Penyelidikan ini adalah bagi membantu YA-YA Hakim-Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi dari segi penyelidikan terutamanya untuk kes-kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam. Mulai Disember 2020, kerja-kerja penyelidikan Unit ini dipanjangkan kepada Bahagian Kuasa-Kuasa Khas dan juga Bahagian Sivil.
Teknologi Digital
Di bawah pentadbiran Ketua Hakim Negara yang ke-12, YAA Tun Zaki Bin Tun Azmi, pelbagai pembaharuan dan inisiatif telah diperkenalkan dalam usaha untuk mempertingkatkan sistem pentadbiran dan penyampaian mahkamah di seluruh Malaysia. Penglibatan dan peranan Mahkamah Kuala Lumpur dalam menyahut misi pembaharuan yang ingin dilaksanakan oleh Badan Kehakiman dapat dilihat melalui pelbagai projek rintis yang telah dimulakan dan dilaksanakan di Mahkamah Kuala Lumpur.
Pada tahun 2008, Mahkamah Kuala Lumpur telah menjadi perintis kepada projek sistem e-Kehakiman yang kemudiannya telah diperluaskan di mahkamah di negeri-negeri yang lain. Di bawah sistem eKehakiman ini, empat komponen utama telah diperkenalkan iaitu Court Management System (CMS), Court Recording Transcription (CRT), Queue Management System (QMS) dan e-Filing System (EFS).
Melalui sistem CRT, prosiding perbicaraan dirakam secara audio-visual dan disimpan secara digital. Di bawah sistem CMS pula, fail kes, dokumen dan minit prosiding mahkamah disimpan secara digital dan boleh diakses dari mana-mana lokasi dan pada bila-bila masa melalui capaian internet. QMS membolehkan peguam dan orang awam mendaftarkan kehadiran mereka bagi tujuan kes di mahkamah dan melancarkan sistem pemanggilan kes serta pengendalian pengurusan kes. EFS membolehkan pemfailan dokumen yang berkaitan dengan kes dibuat secara elektronik oleh pemegang taruh tanpa kehadiran atau melalui kaunter di mahkamah.
Pada Disember 2018, sistem eReview telah diperkenalkan dan dilaksanakan di Mahkamah Kuala Lumpur di mana pengurusan kes sivil dijalankan secara atas talian tanpa memerlukan kehadiran peguam di mahkamah. Pelaksanaan sistem ini kemudiannya telah turut diperluaskan ke mahkamah-mahkamah yang lain.
Beberapa ciri tambahan baharu di dalam sistem eKehakiman juga telah dimulakan pelaksanaannya di Mahkamah Kuala Lumpur seperti sistem ePG di Mahkamah Majistret Trafik Kuala Lumpur yang membolehkan prosiding pengakuan salah dan pengemukaan rayuan bagi kes kesalahan trafik dibuat oleh pesalah secara atas talian dan sistem eBicara di Mahkamah Tinggi Bahagian Dagang dan Sivil Kuala Lumpur yang melibatkan prosiding pendengaran dan perbicaraan kes yang dijalankan menerusi teknologi komunikasi jarak jauh.
Selain itu, pelaksanaan sistem-sistem baharu seperti eJamin yang melibatkan urusan pembayaran wang jaminan secara elektronik bagi kes jenayah dan eLelong yang membolehkan urusan bidaan hartanah lelongan dijalankan atas talian telah turut digunakan secara meluas di Mahkamah Kuala Lumpur.
Pandemik Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia pada tahun 2019 merupakan satu cabaran kepada badan perundangan dan kehakiman. Pelbagai inisiatif telah diambil dalam memastikan pentadbiran dan penyampaian sistem keadilan tidak terjejas dan dapat diteruskan. Antara inisiatif yang telah diambil termasuklah pengendalian prosiding dalam talian yang dijalankan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pendengaran permohonan melalui platform emel di Mahkamah Tinggi Dagang Kuala Lumpur, pengendalian prosiding perbicaraan secara sidang video di Mahkamah Tinggi Harta Intelek Kuala Lumpur dan pengendalian prosiding penerimaan masuk peguambela dan peguamcara melalui platform sidang video dan hibrid di Mahkamah Tinggi Bahagian Kuasa-Kuasa Khas.
Sehingga kini, Mahkamah Kuala Lumpur masih mengekalkan pengendalian prosiding melalui komunikasi teknologi jarak jauh, sebagai alternatif kepada prosiding secara fizikal sedia ada.
Pada 24 Februari 2017, Mahkamah Kuala Lumpur telah merangkul Anugerah Pengiktirafan: Mahkamah Persekutuan Malaysia Tahun 2016 daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) atas pencapaian Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Surat Kuasa Wakil) dalam mengurus dan menyelesaikan permohonan surat kuasa wakil berkaitan dengan permodalan saham yang melonjak tinggi dalam ekonomi negara ketika itu.