Warna Tema      
Saiz Tulisan -A A +A
 

Pendahuluan

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur merupakan sebuah kompleks bangunan mahkamah terpenting dalam institusi Badan Kehakiman Malaysia. Bangunan yang kini berdiri megah di Jalan Tuanku Abdul Halim (dahulunya dikenali sebagai Jalan Duta) merupakan kompleks mahkamah terbesar di Malaysia dan yang kedua terbesar di benua Asia.

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menghimpunkan tiga jenis mahkamah di bawah satu bumbung iaitu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.

Sejarah Mahkamah Kuala Lumpur

Sejarah penempatan Mahkamah Kuala Lumpur berasal dari lima buah bangunan yang utama di ibu kota Kuala Lumpur. Pada asalnya, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret masing-masing terletak di bangunan yang berasingan.

Bangunan-bangunan yang menyaksikan sejarah penempatan Mahkamah Kuala Lumpur ini ialah Bangunan Sultan Abdul Samad, ­Bangunan Wisma Denmark, Bukit Mahkamah atau juga dikenali sebagai Court Hill, ‘Bangunan Kayu’ di Jalan Duta dan juga bangunan Dewan Bandaraya atau dikenali sebagai City Hall Building.

Pada sekitar tahun 1978, Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beroperasi di Bangunan Mahkamah yang terletak di Jalan Raja, iaitu berhampiran dengan Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Pada tahun 1984, Mahkamah Persekutuan telah kemudiannya ditempatkan di Bangunan Sultan Abdul Samad, yang juga terletak di Jalan Raja (dahulunya dikenali sebagai Gombak Road) dan berhadapan dengan Dataran Merdeka dan Kelab Diraja Selangor. Bersempena dengan penempatan Mahkamah Persekutuan di Bangunan Sultan Abdul Samad, nama Jalan Belanda di belakang bangunan tersebut telah ditukar kepada Jalan Mahkamah Persekutuan.

img-01Perletakan batu asas bangunan Sultan Abdul Samad telah dilakukan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Charles B. H. Mitchell K.C.M.G. pada 6 Oktober 1894. Residen British di Selangor pada waktu tersebut ialah W. H. Treacher C.M.C. Setelah siap sepenuhnya, bangunan ini telah dirasmikan oleh Residen Jeneral Negeri Selangor, iaitu Sir Frank Swettenham K.C.M.G. pada 4 April 1897.

Tujuan pembinaan bangunan ini pada asalnya adalah sebagai pejabat pentadbiran British di Selangor yang pada masa itu memerlukan ibu pejabat baru bagi mentadbir negeri. Sebelum itu, ibu negeri Selangor terletak di Klang dengan kedudukannya yang agak jauh dari kawasan yang maju di Kuala Lumpur.

Sultan Abdul Samad yang merupakan pemerintah negeri Selangor dari tahun 1857 hingga 1898 telah bersetuju untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai ibu negeri Selangor. Antara pejabat yang ditempatkan di bangunan tersebut ialah Sekretariat Kerajaan (G.S.O); Bilik Mesyuarat Majlis Negeri (Council Chamber); Pejabat Pos; Lembaga Kebersihan (Sanitary Board); Pejabat Kehakiman (Judicial Commissioner); Jabatan Audit dan Perbendaharaan; Pejabat Tanah; Jabatan Galian; dan Pejabat Daerah Jabatan Kerja Raya (P.W.D. District Office). 

Kerja-kerja pembinaan dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (P.W.D). Bangunan ini direka bentuk oleh arkitek Inggeris bernama Arthur Charles Alfred Norman pada sekitar tahun 1893 hingga 1897. Norman menghabiskan masa di benua Afrika dan mendapat ilham daripada masjid di India seperti Taj Mahal yang membawa kepada ciri seni bina Moor dalam arkitektur Bangunan Sultan Abdul Samad. Charles Edwin Spooner bertindak sebagai perancang dan Jurutera Negeri . Pengarah P.W.D ialah R. A. J. Bidwell A.B. Hubback yang berperanan menyediakan pelan dan lukisan reka bentuk. 

Idea dan reka bentuk Bangunan Sultan Abdul Samad sebenarya telah bermula seawal tahun 1889 setelah W. E. Maxwell mengambil alih tugas sebagai Residen British di Selangor. Kuala Lumpur sebagai ibu negeri Selangor pada masa itu hanya mempunyai bangunan-bangunan rumah kedai dan beberapa bangunan kerajaan yang tidak begitu menonjol. Maxwell telah membawa C. E. Spooner dari Ceylon dengan dibantu oleh Bellamy dan A.C. Norman. Reka bentuk asal yang dikemukakan oleh Norman adalah hanya sebuah bangunan yang berkonsepkan Inggeris Classical Rennaisance. Bidwell bertanggungjawab dalam mengadaptasi seni bina Islam (Mahometan style) sebagai tonggak ciri dan reka bentuk bangunan tersebut selepas Spooner kurang berpuas hati dengan reka bentuk asal yang dikemukakan oleh A.C. Norman.

Tempoh masa pembinaan ialah selama 2 tahun 7 bulan. Sebuah kilang batu-bata telah dibina di Brickfields bagi membekalkan bahan binaan seperti 4 juta batu-bata, 2,500 tong simen, 18,000 pikul kapur, 5,000 lb tembaga, 50 tan besi keluli dan 30,000 kaki padu kayu. Batu-bata yang berkualiti dan berwarna merah pula dibawa dari India. Antara kontraktor kecil yang membawa batu-bata ini ialah Ghouse yang berasal dari Chittagong, India (sekarang dikenali sebagai Bangladesh). Batu-bata ini dibawa terus melalui Sungai Kelang dan berlabuh di sebuah pangkalan yang terletak berhampiran dengan Masjid Jamek sekarang.

Bangunan dua tingkat bercirikan Cardova dan Mesir ini juga mempunyai ketinggian 17.5 meter dengan menara jam setinggi 41.5 meter dan meliputi kawasan seluas 10,200 meter persegi. Reka bentuk binaannya adalah berbentuk Soracenic yang berasaskan seni bina Moghul dan Moor. Tingkap dan pintunya berbentuk melengkung seperti masjid-masjid di Cordova dan Mesir. Ciri-ciri utama bangunan ini adalah ketiga-tiga kubahnya, menara jam besar dan arked serta lengkungannya yang luas. Ketiga-tiga kubah tersebut yang asalnya diperbuat daripada kayu dan batu- bata yang dicat hitam telah digantikan dengan kubah-kubah bersalut tembaga.

Kubah yang terletak di atas menara jam besar diapit oleh dua kubah kecil dengan tangga pilin menurun. Kubah tengah agak luar biasa kerana ia adalah paduan dua ciri tradisional kubah dan kios. Menara jam ini dijaga dan telah dibaiki dari semasa ke semasa kerana menjadi waktu utama (standard) di seluruh Malaysia. Menara jam ini menyerupai Big Ben yang terdapat di Kota London.

Pada peringkat awal, bangunan Sultan Abdul Samad ini telah dikenali sebagai Pejabat Baru Kerajaan (New Government Offices). Apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk pada tahun 1948, bangunan ini dinamakan Sekretariat Persekutuan (Federal Secretariat). Pada tahun 1974, semua pejabat Kerajaan Negeri Selangor telah dipindahkan ke Shah Alam manakala pejabat kerajaan Persekutuan Malaysia pula telah dipindahkan ke Jalan Duta, Damansara.  Selain itu, nama bangunan ini juga telah ditukar kepada nama Bangunan Sultan Abdul Samad sempena dengan nama Sultan Selangor yang memerintah dari tahun 1857 hingga 1898 dan nama ini kekal sehingga sekarang.

Pada sekitar tahun 1977, penempatan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah dipindahkan ke ‘Bangunan Kayu’ yang terletak di Jalan Duta. Selepas 12 tahun iaitu dalam tahun 1989, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah berpindah ke Bangunan Dewan Bandaraya atau lebih dikenali dengan City Hall Building manakala Mahkamah Majistret pula terus beroperasi di Bangunan Kayu.

Pada bulan Mac 1992, kebakaran telah berlaku di Bangunan Mahkamah yang terletak di Jalan Raja. Ketika itu, bangunan tersebut baru sahaja dikosongkan bagi membolehkan kerja pengubahsuaian dijalankan bagi menempatkan tiga belas buah Mahkamah Majistret. Pada Disember tahun yang sama, kebakaran kali kedua telah berlaku di bangunan tersebut yang dikatakan berpunca daripada kejadian litar pintas. Kejadian tersebut telah memusnahkan sebahagian besar bilik-bilik mahkamah, kamar hakim, bilik fail dan perpustakaan. Walau bagaimana pun, memorial plaque yang memperingati jasa para hakim, peguam dan pegawai undang-undang yang meninggal dunia ketika Perang Dunia Kedua terselamat dan kini ditempatkan di Muzium Kehakiman di Istana Kehakiman, Putrajaya. Selepas daripada kejadian tersebut, penempatan Mahkamah Tinggi Bahagian Jenayah, Dagang, Sivil, Keluarga dan Rayuan Kuasa-kuasa Khas telah dipindahkan ke Bangunan Sultan Abdul Samad.

Selain kebakaran, bencana banjir yang melanda Bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Mahkamah di Jalan Raja dan City Hall Building pada sekitar tahun 1971, 1998 dan 2003 telah turut memusnahkan fail-fail dan juga jurnal undang-undang. Kejadian-kejadian banjir tersebut berlaku disebabkan oleh jumlah hujan lebat dan ditambah pula dengan sistem saliran yang tidak begitu memuaskan di sekitar kawasan Kuala Lumpur yang pada ketika itu sarat dengan projek pembangunan yang pesat. Selain itu, terdapat juga pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak di belakang bangunan tersebut yang menyebabkan limpahan air sungai apabila hujan lebat melanda.